HIDUP sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), ditinggalkan bapa ketika masih kecil dan menjalani hidup yang sukar menjadi penyebab S.Suresh mencapai gelaran juara dunia acara sukan yang diceburinya sejak tujuh tahun lalu. Pemilik nama itu juga berdepan kecacatan kekal pada usia muda dan hidupnya yang penuh dengan ranjau berduri sama sekali tidak mematahkan semangat kental atlet para memanah negara ini untuk mencipta nama di pentas dunia biar pun ia bukan sesuatu yang mudah. Mengimbas kembali perjalanan hidup Suresh, percaya atau tidak, bukan semua orang boleh bertahan dan bersabar menembuhi kesusahan hidup. Jika mental tidak kuat, pastinya Suresh tidak berada di tempat sekarang. Malahan, kejayaan merangkul pingat emas pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda, Ahad lalu membuktikan atlet 25 tahun ini berjiwa kental. Suresh mahu fokus ke Tokyo tahun depan. Suresh kehilangan kaki kirinya pada usia 13 tahun apabila lori yang dipandu ayahnya, Selvathamby, terbabit dalam kemalangan jalan raya. Bukan sahaja terpaksa bergantung perjalanan hidup dengan kaki palsu, Suresh ditimpa pelbagai kesusahan apabila ayahnya ‘meninggalkan’ keluarga tanpa berita, sekali gus memaksa ibunya, Dewani Chandran menanggung dia dan dua adiknya, Karthiyani dan Kalidasan dengan gaji sebagai pekerja kilang. Selepas itu, pada 2010, satu-satunya adik perempuannya, Karthiyani, maut dalam kemalangan jalan raya apabila dilanggar sebuah motosikal ketika menaiki bas sekolah. “Orang sering beritahu ibu kononnya saya anak yang tidak berguna kerana menceburi sukan memanah. Kata mereka sebagai anak sulung, bukan saya menjaga adik dan ibu, sebaliknya ibu yang menjaga saya. "Bagaimanapun dengan kejayaan di pentas dunia ini, dapat saya buktikan segala tanggapan buruk mereka terhadap diri saya adalah tidak benar," ujar atlet kelahiran Kuala Ketil, Kedah ini. Suresh bersama jurulatihnya, Marzuki Zakaria. Kejayaan tersebut bukti pengorbanannya kepada keluarga demi negara. Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), Suresh layak menerima ganjaran berjumlah RM80,000. “Saya mencapai matlamat ini untuk negara dan bila dapat ganjaran, saya berhasrat mahu membeli sebuah rumah untuk ibu kerana kami masih tinggal di rumah sewa,” katanya yang kembali dari Belanda pada Selasa. Dalam pada itu bagi sesetengah peminat sukan tanah air, nama Suresh asing bagi mereka, hakikatnya atlet ini telah merakam prestasi cemerlang di arena sukan dunia. Pada kejohanan dunia itu, Suresh mempamerkan prestasi cemerlang selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) pada aksi final recurve individu lelaki, sekali gus menempah tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat pada kejohanan berkenaan adalah menerusi Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa dalam edisi 2011 di Turin, Itali. Suresh mahu menggunakan ganjaran kemenangan yang bakal diterimanya nanti untuk membeli rumah buat ibunya. Suresh mula menceburi sukan memanah pada 2012, hasil galakan bekas pemanah paralimpik negara, T. Suresh yang melawatnya di kampung dan memaklumkan mengenai jurulatih, M. Puvaneswaran, yang juga pengurus pasukan memanah Sukan Para Asean (APG) 2015 di Singapura yang ketika itu sedang mencari bakat baharu. “Ketika itu, saya menuntut di Institut Kemahiran Langkasuka, Gurun, Kedah. Semasa itu, saya tidak dapat berlatih secara konsisten tetapi berjaya merangkul pingat perak pada Sukan Para Sukma pada 2012. “Selepas itu tidak dapat menumpukan perhatian pada latihan kerana bekerja untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga,” katanya. Bagaimanapun, pada 2013, katanya, MSN telah memilihnya untuk menyertai skuad negara, namun ketika itu dia menghadapi banyak cabaran kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan rutin latihan sepenuh masa dan keadaan persekitaraan. “Walaupun berdepan dugaan, saya enggan menyerah kerana mahu mencapai keazaman yang berkobar-kobar dalam diri saya,” katanya. Pada 2014, Suresh beraksi dalam APG di Myanmar dan 2017 di Kuala Lumpur, tetapi gagal mencapai kejayaan. Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyambut kepulangan atlet-atlet para negara termasuk Suresh di KLIA pada Selasa. Berikutan itu, katanya, dia diminta oleh pegawai skuad negara untuk pulang berlatih bersama-sama dengan pasukan negeri dan berlatih dalam suasana persekitaran yang lebih tenang. Menurutnya, selepas kembali ke skuad negeri, keazaman untuk memburu kejayaan semakin meningkat dan dia kembali ke pangkuan skuad negara dengan menduduki ranking pertama. Dia diberi sasaran meraih kedudukan dua tempat teratas dalam kejohanan dunia bagi melayakkan diri ke Tokyo. “Bagaimanapun, bukan sekadar layak ke Sukan Paralampik Tokyo 2020 tetapi saya bertekad untuk merangkul emas di kejohanan dunia,” katanya. Malah, katanya, beliau tidak menjangka dan terpegun apabila kejayaan merangkul emas menjadi tular di media sosial di Malaysia. “Setakat yang saya tahu, saya fikir bos saya akan datang, beberapa wartawan akan menemuramah saya dan kemudian saya boleh pulang ke rumah. "Saya tidak menjangka orang kenal saya dan semua orang berkongsi berita dalam media sosial,” katanya yang turut merangkul pingat perak pada Kejohanan Ranking Dunia Fazza di Dubai, bulan lalu.