suria

Pesanan ibu bapa, amanat arwah coach tersemat di jiwa, pemain bola sepak negara ini bakal akhiri zaman bujang tahun ini

Syahmi (kiri) bersama keluarganya. Foto: Instagram Syahmi.

SAMBUTAN Aildilfitri tahun ini bakal menjadi lebaran terakhir buat Muhammad Syahmi Safari untuk meraikannya sebagai ‘orang bujang’.

Pemain muda prolifik kebangsaan ini dijangka akan menamatkan zaman bujang bersama tunang kesayangan, Nabila Nafisa Shahrin penghujung tahun ini.

Pun begitu, Syahmi yang kini berusia 21 tahun yakin sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami sekaligus berharap kariernya akan terus berkembang.

Walaupun menyedari statusnya akan berubah, Syahmi tetap menganggapnya sebagai perkara normal dan tiada apa-apa yang terlalu istimewa mengenai sambutan 1 Syawal tahun ini.

 Syahmi bersama tunangnya, Nabila dijangka bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini. Foto: Instagram Syahmi.

“Seperti biasa, saya menyambut Aildilfitri bersama keluarga dalam kesederhanaan.

“Tahun ini persiapaan raya saya juga sederhana, hanya sehelai baju baharu untuk beraya bersama keluarga di Kuala Selangor.

“Lagi pun tahun ini saya mempunyai tanggungjawab lebih besar memikul tugas negara beraksi pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia, dua hari selepas hari raya, jadi tumpuan saya lebih kepada aksi penting ini,” kongsinya bersama mStar. 

Jelas pemain tengah dan pertahanan ini, jadualnya untuk musim 2019 penuh dengan perlawanan Liga Super dan aksi kebangsaan.

“InsyaAllah, jika tiada aral melintang saya akan berkahwin sebelum bermulannya satu kejohanan kebangsaan hujung tahun ini.

Syahmi (kiri) antara pemain muda yang menjadi perhatian.

“Saya berharap semuanya berjalan lancar. Saya bersyukur kerana tunang saya memahami kerjaya sebagai pemain bola sepak, dan sepanjang perkenalan kami selama tiga tahun ini, dia banyak memberi sokongan,” ujar Syahmi.

Dalam pada itu, pemain lincah yang dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengakui perjalanan sebagai pemain bola sepaknya masih jauh.

“Saya masih baharu dalam skuad kebangsaan. Jadi banyak perkara yang perlu saya pelajari. Apa yang penting amanat bekas jurulatih ketika bersama Akademi Remaja MBSA (Majlis Perbandaran Shah Alam), Allahyarham Anuar Abu Bakar masih tersemat dalam jiwa saya.

“Arwah seorang yang tegas. Dia selalu berpesan kepada semua pemain, perlu kerja keras kalau mahu menjadi pemain yang berjaya.

Syahmi merupakan salah seorang ayam tambatan pasukan Selangor.

“Kata-kata itulah yang saya pegang sampai hari ini. Saya sedar banyak saingan daripada pemain-pemain muda lain dalam merebut tempat terbaik, tetapi saya tetap percaya pada diri sendiri.

“Satu lagi pesanan daripada ibu, Farton Daud dan bapa, Safari Hussin, supaya tidak bersikap sombong dalam hidup kerana ada masanya kita di atas , ada masanya kita di bawah. Yang pasti saya tidam mahu perkara itu berlaku," katanya yang menghargai sokongan ibu bapanya yang masing-masing berusia 59 dan 60 tahun itu.

Penggemar Nasi Goreng Tom Yam ini juga mengakui jarang membuka laman media sosial Instagram dan meminta maaf kerana tidak reply kepada sesiapa yang ‘DM’ padanya kerana jarang membukanya.

Mengenai pencalonan Anugerah Puskas itu, kata Syahmi dia sama sekali tidak pernah menjangka akan dicalonkan dan jika tidak terpilih, dia tetap bersyukur dan  sekiranya ditakdirkan menang, ia sebagai bonus buat dirinya.

Artikel Lain