TIDAK dinafikan arena sukan olahraga negara semakin mendapat perhatian dengan lahirnya beberapa atlet muda yang berpontensi tinggi. Dikala mata tertumpu kepada jaguh pecut muda negara yang dianggap sebutir bintang yang wajar diberi perhatian iaitu Muhammad Azeem Mohd Fahmi, jangan lupa masih ada seorang atlet pecut yang semakin meningkat naik berada nun jauh di bumi Australia. Russel Alexander Nasir Taib mungkin masih janggal dibibir peminat sukan olahraga negara, tetapi hakikatnya dia sudah memberi signal kepada pencabar negara lain mengenai kehadirannya. Sejak Mac lalu, pemuda kelahiran Perak berusia 21 tahun ini sudah mencipta rekod sukan olahraga negara. Salah satu kejohanan yang diserta Russel di Australia. Foto: Lilly Castle Apa tidaknya, baharu beraksi menyarung jersi negara, Russel sudah berjaya memecah rekod 200 meter kebangsaan pada Kejohanan Trek Klasik Queensland Brisbane, Australia dua bulan lalu. Dengan rekod 20.77 saat Russel sekaligus memecah rekod yang dipegang ‘Speedy Jantan’ (Khairul Hafiz Jantan yang dicipta pada Kejohanan Terbuka Malaysia, dua tahun lalu dengan catatan 20.90 saat. Mengimbas kembali penampilannya dalam dunia olahraga, Russel memberitahu ia bermula ketika di bangku sekolah. Biarpun jauh meninggalkan tanahair, hati dan jiwanya masih berjiwa patriotik selepas berpindah ke negara kanggaru itu pada usia 3 tahun. “Saya mula aktif bersukan selepas guru pendidikan jasmani menghubungi ibu saya, Karen supaya mencari jurulatih peribadi. “Dan sejak itu saya mula mengenali trek dengan lebih dekat dan memberi perhatian serius terhadap latihan. Pun begitu saya tetap mengimbangi antara sukan dan pelajaran. Russel mewakili Perak pada Sukma 2018. “Dan saya mengambil secara serius acara 200 meter bermula September tahun lalu,” ujar anak bongsu daripada empat beradik ini kepada mStar. Menurut Russel, walaupun menetap di Australia, ia tidak menjadi masalah baginya untuk berhubung dengan kem olahraga negara. “Sekiranya ada kejohanan atau latihan yang perlu bersama skuad negara, saya akan kembali ke Kuala Lumpur,” katanya sedang mengikuti pengajian di University of The Sunshine Coast, Queensland dalam bidang Ijazah Psikologi Sukan. Russel juga mengakui sebagai atlet negara, jadual tahun ini agak penuh dengan latihan dan kuliah yang perlu dihadiri. “Tidak lama lagi saya bakal bersaing pada Kejohanan Sukan Universiti Dunia akhir tahun ini dan Sukan SEA di Filipina,” ujarnya yang gemar memakan ‘steak’. Walau pun telah lama meninggalkan Malaysia, atlet kacukan ini juga tetap mengingati asal usulnya. Russel kini memegang rekod 200 meter kebangsaan. Foto: RusselTaib “Saya gembira sepanjang tempoh dibesarkan di Perak dan ingin ‘explore’ lebih banyak tempat menarik di Malaysia. “Tidak lupa juga, makanan kegemaran saya iaitu nasi lemak. Setiap kali pulang ke Malaysia, saya akan cuba menikmatinya,” jelas Russel yang memilih hijau sebagai warna kegemarannya. Ditanya mengenai cita-citanya, Russel tanpa berselindung memberitahu dia mungkin bergelar pemain bola sepak atau atlet tinju di Australia. “Saya memang mendalami bidang psikologi sukan dan akan menggunakannya untuk masa depan. Mungkin akan jadi pakar psikologi sukan,” tambahnya yang menjadikan Usian Bolt, Michael Jordan dan Mohamed Ali sebagai idola.