suria

“Dia kaji teknik, kecederaan pelari pecut dunia” - 'Lari' dari asrama penuh ke sekolah sukan, bapa dedah perangai pelik Azeem

Azeem (kanan) bersama bapanya Mohd Fahmi Tajuid dan ibu Norazah Ibrahim.

“ABAH, Abang Teh nak tukar sekolah sukan,” luah jaguh pecut remaja Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Muhammad Azeem atau dipanggil Abang Teh dalam keluarganya mengambil langkah berani berdepan dengan bapanya, Mohd Fahmi Tajuid, 50, dan ibu Norazah Ibrahim,50, dalam usahanya meminta izin ditukarkan ke sekolah sukan di Ipoh.

Ketika itu Azeem berada di tingkatan 1 dan belajar di sekolah berasrama penuh (SBP) Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) di Ipoh.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Usain Bolt Malaysia' ditemui! Jurulatih kata “perjalanannya masih jauh, jangan terlalu beri tekanan”

ARTIKEL BERKAITAN: "Pasti akan pantau" - ISN janji beri perhatian terhadap Azeem

Sebagai ibu bapa, pastinya permintaan itu mengejutkan mereka memandangkan anak lelaki mereka itu sudah berada di sebuah sekolah yang bagus.

Azeem (kiri) bersama adik-beradiknya.

“Penghujung 2017, sebelum masuk ke tingkatan 2, Azeem sendiri  bersemuka dengan saya dan ibunya minta tukar sekolah sukan. Saya tanya kenapa dan dia beritahu di Star semua lancar dari segi akademik dan sukan, tetapi Azeem berterus-terang bahawa dia tak dapat apa yang diinginkan.

“Saya kenal dengan sikap Azeem yang akan berbincang sekiranya ada perkara yang timbul di hatinya. Saya tahu jika saya melarangnya daripada tukar sekolah, Azeem akan ikut sahaja.

“Tetapi sebagai ibu bapa, kami tidak mahu akan ada jiwa memberontak dan jadi penghalang apa yang dia minat dan ingin fokuskan,” ujarnya kepada mStar.

Bapa kepada lima cahaya mata ini memberitahu, Azeem merupakan anak keempat dan seorang yang sangat matang walaupun baru berusia 14 tahun ketika membuat keputusan mengenai masa depannya itu.

“Saya tahu dia inginkan sebuah sekolah yang ada latihan intensif untuk sukan dan Azeem tahu potensi dirinya sendiri.

“Jadi kami tukarkannya ke Sekolah Sukan Gunung Rapat di Ipoh. Pada mulanya Star enggan melepasnya dan sanggup menyediakan pengangkutan dan jadual latihan khas buat Azeem.

“Tetapi apabila saya fikir telah banyak menyusahkan banyak pihak kerana perkara ini, saya mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya memastikan tidak ada timbul masalah.

“Alhamdullilah selepas itu masalah ini selesai dengan baik dan Azeem meneruskan sekolahnya di Gunung Rapat sehinggalah sekarang,” jelasnya yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datoh.

Azeem (tengah) dipapah oleh bapanya (kiri) dan jurulatih Muhammad Amir (kanan) dalam satu kejohanan sebelum ini.

Perumpamaan ‘ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’ memang tepat dengan keluarga Azeem ini memandangkan bapanya juga merupakan bekas pelari Perak satu masa dulu.

“Memang aktif berlari juga ketika zaman muda-muda dulu tetapi sekarang semua minat itu telah 'turun' kepada anak-anak.

“Anak sulung sampai keempat memang aktif dalam sukan olahraga dan turut mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSP) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Cuma Azeem ini dia berbeza daripada abang-abangnya. Dia suka mengkaji teknik larian dan kecederaan semua pelari pecut dunia seperti Carl Lewis, Yohan Blake, Usain Bolt dan lain-lain lagi.

“Azeem bukan sahaja mengkaji pasal latar belakang mereka, malah dia turut meneliti corak kecederaan, teknik larian mereka semua.

“Malah dia juga seperti ada azamnya sendiri dan pernah satu hari ketika kami pergi ke trek untuk jogging, dia beritahu saya ‘abah Abang Teh mahu cuba buat rekod bawah 10.9.

“Ketika itu dia di tingkatan 1 telah mencatat 10.9 saat. Saya angguk dan cakap OK kerana tahu apa yang Azeem cakap dia akan mencapainya.

“Kami sekeluarga tahu perkara paling penting buat Azeem adalah sokongan dan kata-kata semangat.

“Setiap masa kami ada bersamanya dan jika dia menyertai kejohanan di luar negara, abang sulungnya (Muhammad Amirul Fikri,26) akan ikut atas inisiatif sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohd Fahmi turut mendedahkan hobi Azeem yang suka bermain gitar dan menyanyi ketika ada masa lapang.

Azeem bakal menduduki PT3 tahun ini.

“Dia ni seorang yang ‘simple’. Kalau ada masa lapang, dia duduk kat rumah main gitar, seperti remaja-remaja lain.

“Walaupun namanya kini menjadi sebutan, saya yakin dia boleh menerima dengan matang apa yang dialaminya sekarang.

"Saya nampak dia tetap fokus dengan apa yang dia mahu.

“Kami dan jurulatihnya (Muhammad Amir Izwan) juga tidak pernah meletakkan sebarang ‘target’ kepadanya. Apa yang dia capai sekarang adalah keinginannya.

“Dia masih muda dan saya kalau boleh tidak mahu dia membaca apa sahaja berita mengenainya, tetapi zaman sekarang tidak boleh dikawal. Semua maklumat di hujung jari.

“Cuma saya dan ibunya selalu berpesan jangan lupa restu keluarga, guru-guru, jurulatih, rakan-rakan dan netizen merupakan faktor apa yang dicapainya setakat ini.

“Walaupun dia kelihatan matang, tetapi hakikatnya dia baru berusia 15 tahun,” tambah Mohd Fahmi.

Aksi Azeem ketika mencatat rekod baharu pada Kejohanan MSSM di Johor minggu lalu.

Mohd Fahmi juga bercerita mengenai warna kegemaran Azeem.

“Hanya dua warna iaitu hitam dan putih. Bukan sahaja gambarnya di Instagram tetapi beg, kasut, baju dan sebagainya."

Nama Azeem menjadi tumpuan peminat-peminat sukan olahraga tanah air sejak tahun lalu apabila layak ke final acara 100 meter ketika Sukan Malaysia Perak pada usia 14 tahun.

Dia merupakan pemegang pingat emas Kejohanan Remaja Asia Tenggara Filipina dalam acara 100 meter, manakala perak bagi larian 200m.

Terbaharu, Azeem mempamerkan aksi seperti ‘angin’ ketika larian 100 meter pada Kejohanan MSSM di Muar dengan mencatat rekod baharu 10.63s yang dianggap rekod dunia bagi pelari kategori Bawah 16 Tahun.

Azeem, pecut, Perak

Artikel Lain