suria

Mike, juara dunia bina badan tiga kali pernah 'hantuk kepala' demi dapatkan badan sado

Mike tidak pernah membayangkan dirinya bergelar ahli bina badan.

SUKAN bina badan bukanlah menjadi pilihan bagi rakyat Malaysia, namun sebenarnya acara ini mampu pergi jauh sama seperti sukan atau aktiviti kecergasan lain.

Juara dunia tiga kali Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah atau lebih dikenali Mike memberitahu sukan bina badan ini sebenar mempunyai kelebihannya tersendiri.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam sukan badan 'sado' ini, Mike sebenarnya adalah bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur.

“Ketika remaja dulu saya bermain dalam skuad pelapis remaja Kuala Lumpur, namun tempoh berada di padang itu tidak panjang.

Mike memegang gelaran juara dunia sebanyak tiga kali.

“Selepas mengalami kecederaan saya mula berjinak dengan gimnasium untuk proses pemulihan dan di situ timbul ‘obses’ untuk membina badan.

“Pada awalnya, ia satu proses yang sukar kerana memerlukan disiplin yang sangat tinggi.

“Ada satu ketika saya hantuk kepala sendiri kerana tekanan dalam proses mengimbangan diet,” katanya kepada mStar.

Memegang perumpamaan  ‘alah bisa, tegal biasa’ , Mike berkata lama kelamaan proses latihan keras dan diet seimbang sudah menjadi rutinnya.

Mike mahu tumpukan latihan untuk mempertahankan gelaran dunia November ini.

“Sehingga sekarang, hampir 23 tahun saya berkecimpungan dalam bidang ini dan sudah banyak melakar kejayaan di peringkat dunia.

“Untuk capai ke tahap itu, banyak pengorbanan perlu dilakukan terutama dari segi masa dan pemakanan serta wang ringgit.

“Walaupun usia saya kini sudah mencecah 46 tahun, semangat untuk terus melakar rekod dunia masih tinggi. Apa yang penting adalah disiplin perlu ada. Bukan sahaja untuk sukan bina badan tetapi semua jenis acara lain,” jelas anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sudah tiga tahun berturut-turut nama saya telah disenarai pendek, namun belum ada rezeki. Saya sedar saingan dengan atlet lain amat sengit. Tetapi ia tidak pernah memadam hasrat untuk terus mendapatkan gelaran itu.

MIKE

Atlet bina badan

Mike memberitahu, biarpun sudah melakar nama di peringkat dunia, satu impiannya masih belum tercapai.

“Sasaran saya hanya mahu merangkul trofi Olahragawan Anugerah Sukan Negara (ASN).

Mike mahu terus berusaha untuk merangkul trofi Olahragawan Kebangsaan suatu hari nanti.

“Sudah tiga tahun berturut-turut nama saya telah disenarai pendek, namun belum ada rezeki. Saya sedar saingan dengan atlet lain amat sengit. Tetapi ia tidak pernah memadam hasrat untuk terus mendapatkan gelaran itu.

“Saya akan terus berusaha lebih kuat dan cuba meraih banyak kememangan bagi memastikan nama saya terus tercalon,” ujarnya.

Atlet senior sukan bina badan ini turut mengajak golongan muda menceburi sukan bina badan.

“Ramai yang berminat tetapi hanya separuh jalan. Saya faham kerana komitmen untuk membentuk tubuh badan yang ‘sharp’ bukan mudah, tetapi sebenarnya ia berbaloi.

“Ia juga mampu menjadikan kita sebagai seorang yang berdisiplin. Jangan takut untuk mencuba sesuatu kerana saya sendiri tidak pernah membayangkan akan jadi ahli bina badan,” jelas penyokong Liverpool ini.

Mike Mahen, bina badan, sado

Artikel Lain