suria

Cita-cita nak jadi pakar bius, remaja ini ada misi rebut gelaran pendaki termuda wanita tawan Gunung Elbrus

'KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi', perumpaan paling tepat buat seorang gadis berusia 16 tahun yang bakal mengharumkan nama negara sebagai pendaki termuda wanita.

Sara Sofea Muhammad Illaham dijangka menawan puncak tertinggi di benua Eropah, Gunung Elbrus, Rusia pada Ogos ini.

Mengimbas kembali titik permulaan minatnya bergelar pendaki, Sara secara terang memberitahu ia berpunca daripada ayahnya, Muhammad Illaham Ishak,43 yang merupakan pendaki aktif di tanah air.

"Saya mula dengan aktiviti mendaki ini pada a2014 dan mula serius sejak dua tahun lalu.

Sara ketika mendaki Gunung Kinabalu baru-baru ini.

"Bermula dengan acara Larian Gunung Datuk minatnya kepada aktiviti mendaki semakin menebal.

"Selain ayah, ibu, Rosida Musa juga terlibat dalam aktiviti sama, jadi boleh dikatakan kami sebuah keluarga pendaki," ujarnya berkongsi dengan mStar.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) ini memberitahu, minat dan fokus adalah dua perkara penting untuk aktif dalam aktiviti ini.

"Lebih-lebih lagi apabila ayah sendiri menjadi jurulatih, ia sudah menjadi sebahagian daripada aktiviti tetap saya.

"Saya juga pemain bola keranjang di sekolah dan acara ini membantu meningkatkan kecergasan ketika melakukan pendakian.

"Sejak kecil lagi saya tahu ayah adalah pendaki tegar dan banyak gunung di dalam dan luar negara yang telah ditawan. Dari situ saya menganggap ayah sebagai idola dan cuba mengikut jejak langkahnya.

"Sepanjang mendaki, banyak kenangan yang saya tidak boleh lupa antaranya pengalaman kali pertama menawan puncak Gunung Kinabalu tahun ini.

Sara bersama bapanya di puncak Gunung Kinabalu.

"Kini, saya melangkah lebih yakin dan bulan depan akan mencuba pengalaman baharu menawan Gunung Elbrus," jelasnya yang bercita-cita menjadi doktor pakar bius.

Mengenai persiapan ke puncak di Rusia itu, anak sulung daripada tiga beradik ini memberitahu semuanya berjalan lancar dan gembira dengan sokongan daripada pelbagai pihak.

"Keluarga, guru-guru di sekolah serta kawan-kawan sentiasa menyokong aktiviti saya ini.

Sara (belakang kanan) bersama keluarganya.

"Jadual latihan lengkap yang dilaluinya selama lebih dua tahun di bawah tunjuk ajar dua jurulatih mendaki diharap banyak membantu melancarkan misi saya ini.

“Semakin hampir tarikh untuk memulakan misi, faktor cuaca diharap menyebelahi saya dan untuk itu doa seluruh rakyat Malaysia diharapkan bagi melakar kejayaan ke puncak Elbrus kerana bagi saya ia bukan hanya untuk diri sendiri tetapi mahu membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dengan matlamat untuk menjadi belia termuda Asia Tenggara mendaki ke puncak Elbrus.

"Latihan penyesuaian cuaca sejuk sejuk dan altitud tinggi di Gunung Fuji, Jepun serta di Gunung Kinabalu juga telah dibuat sebelum ini.

"Yang penting sekarang adalah persediaan mental memandangkan laluan pendakiannya yang jauh, selain keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk ribut salji dan suhu di paras bawah beku negatif 30 darjah selsius.

Sara turut menjalani latihan di Gunung Fuji, Jepun.

"Kemungkinan berlakunya runtuhan salji di lereng-lereng pergunungan," jelasnya yang sudah mengkaji situasi di Gunung Elbrus.

Tambah gadis kecil manis yang gemar memakan Sizzling Yee Mee ini, dia turut menjalani latihan di Gunung Tahan, Gunung Datuk, Gunung Korbu serta latihan rutin mingguan untuk mengekalkan kecergasan fizikalnya.

Sementara itu, bapanya yang lebih mesra disapa Pak Am mengakui segala persiapan Sara untuk ke Gunung Elbrus telah dilakukan dan mengikut jadual.

"Untuk sampai ke tahap ini, Sara telah diuji dengan pelbagai tahap ketinggian dan kesejukkan untuk mengetahui penerimaan badannya dalam situasi tinggi dan altitud sejuk.

"Latihan di Gunung Kinabalu dan Fuji di Jepun, saya yakin dia sudah bersedia menerima cabaran yang lebih ekstrem ini.

Sara (tiga kiri) menerima pelbagai tajaan dan sokongan.


"Saya sudah empat kali mendaki Gunung Elbrus ini. Walaupun dikategorikan sukar tetapi ia masih boleh dilakukan oleh pendaki baharu seperti Sara.

"Kami akan bergerak ke sana dalam dua pasukan. Pasukan pertama akan berangkat pada 26 Julai ini sehingga 2 Ogos dan Sara disenaraikan dalam pasukan kedua yang akan terbang pada 9 Ogos.

"Apa yang penting, persiapan rapi sudah dibuat dan kita berserah sahaja kepada Tuhan ketika di sana supaya dapat mengharungi pendakian dalam cuaca baik, tiada gangguan kesihatan dan semuanya berjalan lancar," ujarnya yang merupakan Presiden Kelab Jelajah Alpine-Malaysia (KJA).

Gunung Elbrus yang terletak di Banjaran Caucasus, selatan Rusia dan bersempadan dengan wilayah Georgia, merupakan sebuah gunung berapi tidak aktif.

Ia menjadi tumpuan pendaki yang mahu mencipta rekod pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia yang dikenali sebagai '7 Summit'.

Artikel Lain