LEMBARAN baharu buat atlet pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi apabila gelaran pelari terpantas Asia Tenggara menjadi miliknya, bulan lalu.
Ironinya, atlet yang memiliki ketinggian 171 sentimeter ini tidak meletakkan sasaran untuk merangkul gelaran itu ketika aksi Sukan SEA di Filipina, Disember lalu.
Jelas anak bongsu daripada dua orang beradik ini, ketika final 100 meter dia hanya fokus untuk melakukan yang terbaik dan hanya menyasarkan pingat perak sahaja.
ARTIKEL BERKAITAN: Hero Harimau Malaya terus jadi sebutan, ketahui liku-liku hidup Safawi sebelum dinobat Pemain Paling Bernilai
Namun sebaliknya berlaku apabila dia berjaya meraih pingat emas, malah lebih menggembirakan lagi berjaya menjadi manusia terpantas Asia Tenggara dengan catatan masa 10.35 saat.
Bukan bebanan
Menurut Haiqal, 21, kejayaan itu amat bermakna buat dirinya selepas tujuh tahun bergelar atlet pecut profesional.
Haiqal mengakui sebelum mencatat rekod baharu itu, dia tercabar apabila mendengar pertanyaan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim.
“Sebelum ini coach selalu tanya bila nak buat rekod bawah 10.3 saat. Banyak kali coach cakap dan pertanyaan itu tergiang-giang di kepala dan saya menganggapnya sebagai cabaran.
“Di garis permulaan itulah saya mula melangkah dan lepaskan segala tenaga sehingga mencipta rekod baharu.
“Saya bersyukur dengan apa yang dicapai setakat ini. Saya juga tidak menganggap gelaran ini sebagai beban dan tekanan, sebaliknya menjadikannya sebagai motivasi untuk terus berusaha lebih gigih.
"Inilah pencapaian terbaik saya bergelar atlet pecut," kongsinya kepada mStar.
Azam Tahun 2020
Menurut Haiqal, tahun 2020 ini merupakan tempoh mencabar untuk dirinya merebut slot ke Sukan Olimpik di Tokyo Julai ini.
“Saya nak fokus beberapa kejohanan besar tahun untuk layak ke Sukan Olimpik secara automatik.
“Saya cuba menyertai kejohanan yang berkaitan termasuk aksi pertama tahun ini pada Februari ini iaitu Kejohanan Olahraga Indoor di China. Saya menyertai acara 60 meter.
“Saya berharap semua perancangan tahun ini berjalan lancar dan layak ke Sukan Olimpik tahun ini,” jelasnya yang kini berlatih di Pusat Latihan Sekolah Bandar Penawar, Johor.
Tip jaga stamina
Dalam pada itu, Haiqal tidak lokek berkongsi tip untuk mengekalkan stamina dan terus cergas.
"Elak mengambil daging berlebihan kerana ia lambat untuk dihadam.
"Seminggu sebelum pertandingan saya kurangkan mengambil nasi dan digantikan dengan roti dan telur rebus," jelasnya yang bercita-cita bergelar menjadi pegawai polis.