suria

Wisel Liga Malaysia bakal ditiup... Siapa 5 pemain yang mula jadi sebutan penyokong

Kempen Liga Malaysia 2020 bakal membuka tirai pada 28 Februari ini.

LEBIH kurang dua bulan berehat panjang, kancah bola sepak tempatan bakal membuka tirai musim baharu 2020 pada 28 Februari ini.

Sebanyak 12 pasukan bakal berentap dalam setiap Liga Super Malaysia dan Liga Perdana di mana dijangka musim ini lebih rancak dan mencabar dengan saingan bagi merebut gelaran juara.

Perjalanan musim baharu belum lagi bermula, namun sejak bulan lalu setiap negeri atau kelab sudah mengatur jadual latihan dan membuat persediaan rapi menjelang sepak mula saingan. Malah ada juga pasukan yang membuat persiapan pra musim di luar negara serta mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa 6 figura yang masih pertahan status pemain bola sepak terbaik dunia sehingga 2020

Bagi Johor Darul Ta'zim (JDT), rekod enam kali berturut-turut gelaran juara Liga Super tidak menjadikan mereka terus selesa, sebaliknya kelab gergasi Harimau Selatan itu tetap melakukan persiapan rapi seperti pasukan-pasukan lain.

Rata-rata peminat atau pemerhati bola sepak tempatan menjangkakan JDT akan terus mendominasi sukan bola sepak tanah air berdasarkan pencapaian dan prestasi semasa mereka.

Skuad JDT menjalani latihan rapi menjelang musim baharu Liga Malaysia 2020. Foto kredit: Johor Southern Tigers

Dalam pada itu,  tumpuan juga lebih ke arah beberapa nama pemain yang dijangka menjadi tumpuan sekaligus mewarnai Liga Malaysia musim baharu ini.

Antara nama-nama pemain yang akan terus menjadi sebutan dalam kalangan penyokong termasuk;

1. Safawi Rasid - JDT (Penyerang)

Safawi dijangka akan meneruskan rentak konsistennya bersama JDT.

Beraksi di posisi penyerang, pemain kelahiran Terengganu berusia 22 tahun ini dijangka terus menjadi peladak utama bagi pemain tempatan dalam skuad Harimau Selatan.

Safawi pastinya akan mempamerkan aksi cemerlang seperti musim lalu apabila dia dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai. Dengan persiapan rapi skuad kendalian Luciano Figueroa, tentu sekali nama pemain kebangsaan ini akan menjadi sebutan ramai.

2. Brendan Gan- Selangor (Penyerang)

Brendan bakal beraksi bersama Selangor musim baharu ini.

Musim baharu ini menyaksikan pemain kelahiran campuran Australia-Malaysia ini akan beraksi dengan pasukan Selangor buat kali pertama selepas setahun bersama Perak.

Brendan, 31, antara penyerang yang sukar dihalang dan sentiasa mencipta peluang untuk mencari gol.

3. Mohamadou Sumerah - Pahang (Penyerang)

Sumareh masih setia bersama skuad Pahang.

Masih setia bersama jurulatih Dollah Salleh di Pahang, aksi Sumareh sentiasa dikawal rapi oleh pasukan lawan. Dengan rekod baik ketika menyarung jersi negara tahun lalu, pemain  kelahiran Gambia ini akan mengekalkan rentak untuk memastikan namanya selamat dalam skuad Harimau Malaya.

4.Tchetche Kipre - Kedah (Pemain tengah)

Kipre beraksi bersama Kedah musim 2020.

Bekas pemain import Terengganu ini bakal menjadi sandaran untuk menguatkan barisan serangan Helang merah musim ini.

Kipre,32, dari Ivory Coast ini diberi kepercayaan untuk menggalas tugas di bahagian tengah menjelang perlawanan pembuka tirai bertemu juara bertahan JDT pada 28 Februari ini.

5. Sony Norde - Melaka (Penyerang)

Biarpun musim belum bermula, nama Norde sudah meniti di bibir penyokong-penyokong Melaka United.

Pemain import baharu Melaka United ini sudah menjadi sebutan buat peminat-peminat skuad Sang Kancil biarpun baharu tiba dari kelab Azerbaijan, Zira FK. Berusia 31 tahun, dia berjaya menambat hati jurulatih, Zainal Abidin Hassan dengan beberapa jaringan gol dalam siri perlawanan persabahatan sebelum ini.

Selain itu beberapa perkara utama yang diambil kira dalam penjadualan pertandingan Liga Super Malaysia (LS) 2020 dan Liga Premier Malaysia (LP) 2020.

Jadual perlawanan fasa pertama  (LS1-LS5 dan LP1-LP5)

Jadual Liga Malaysia musim 2020 fasa pertama dikeluarkan bermula dari perlawanan LS1-LS5dan LP1-LP5. Ini adalah lanjutan kepada undian Piala FA 2020 bagi pusingan ketiga (FA3) yang dijadualkan pada 19 Mac 2020 dan undian bagi peringkat Suku Akhir (QF) pada 16 April 2020. Undian akan dijalankan secara terbuka. 

Perlawanan liga fasa seterusnya akan dikemaskini selepas keputusan undian dan ini bagi memastikan perjalanan dan hari rehat pasukan di antara hari perlawanan liga dan Piala FA dapat diselaraskan.

Format dan tempoh liga

Liga Super Malaysia 2020 dan Liga Premier Malaysia 2020 masing-masing akan melibatkan 12 pasukan dengan setiap pasukan akan bermain 22 perlawanan (11 perlawanan sebagai pasukan tuan rumah dan 11 perlawanan sebagai pasukan pelawat). Liga akan berjalan bermula Februari hingga Julai 2020.

Ramadan

Perlawanan akan diteruskan sepanjang Ramadan seperti musim-musim sebelum ini. Sebanyak enam perlawanan Liga Super Malaysia 2020 dan Liga Premier Malaysia 2020 LS8-LS13 dan LP8-LP13 dan satu perlawanan Piala FA Malaysia 2020 iaitu perlawanan Suku Akhir Pertama (QF I) ini menjadikan tujuh perlawanan akan berlangsung pada bulan Ramadan.

Tempoh perjalanan dan rehat pasukan

Setiap pasukan dijadualkan sekurang-kurangnya mempunyai dua hari perjalanan dan rehat setiap perlawanan.

Setiap pasukan dijadualkan sekurang-kurangnya memperolehi dua hari perjalanan dan rehat diantara setiap perlawanan.

Bagi pasukan Johor Darul Ta’zim dan Kedah (sekiranya layak) yang dijadualkan bermain dalam Kelayakan AFC Champions League, kedua-dua pasukan akan menerima sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari perjalanan dan rehat.

Tuan rumah dan pelawat

Semua pasukan yang dijadualkan bermain sebagai pasukan tuan rumah atau pelawat tidak melebihi dua perlawanan berturut-turut bagi setiap pusingan.

Walau bagaimanapun sekiranya pasukan layak untuk bermain di dalam pertandingan Piala FA Malaysia 2020, pasukan yang berkenaan kemungkinan bermain tiga perlawanan berturut-turut sebagai pasukan tuan rumah atau pelawat tertakluk kepada keputusan undian Piala FAMalaysia 2020.

'Fifa Days'

Liga hanya akan berehat semasa tarikh-tarikh Fifa Days. Bagaimanapun, pasukan kebangsaan akan bermain dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada tarikh-tarikh tersebut.

Pemain tumpuan, Liga Malaysia, 2020

Artikel Lain