suria

'Ubi muda’ Borussia Dortmund curi tumpuan, Haaland si 'mesin gol’ pilih Ibrahimovic sebagai idola

Haaland membantu Dortmund mencatat kemenangan ke atas PSG.

NAMA Erling Haaland menjadi sebutan peminat bola sepak apabila dua jaringannya membantu Borussia Dortmund menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Signal Iduna Park.

Sudah pastinya anda tertanya-tanya dari manakah muncul pemain berusia 19 tahun ini sehinggakan kelab gergasi Liga Jerman itu membelinya dari Red Bull Salzburg dengan nilai 20 juta euro (RM900 juta) dan mengikat kontrak sehingga 2024.

Erling Braut Haaland, memulakan karier bola sepaknya bersama kelab Bryne FK pada 2016, sebelum berpindah ke Molde FK menghabiskan masa selama dua musim di situ.

ARTIKEL BERKAITAN: Kobe Bryant... Dunia bola keranjang muram tanpanya

ARTIKEL BERKAITAN: Haiqal, ‘manusia terpantas Asia Tenggara’ dedah tercabar dengan kata-kata coach... misi 2020 mahu ke Olimpik Tokyo

Dia kemudiannya menyertai Red Bull Salzburg pada 2019 dan namanya telah melonjak ketika mewakili pasukan tersebut.

Dilahirkan di Leeds, bapanya Alf-Inge Haaland juga merupakan pemain bola sepak profesional bagi kelab Nottingham Forest, Leeds United dan Manchester City.

Haaland lahir pada Julai 2000 setahun sebelum ayahnya mengumumkan persaraaan secara mengejut.

Haaland bersama bapanya.

Meskipun lahir di England dan secara teorinya dia layak mewakili negara itu, Haaland dilihat lebih cenderung mewakili Norway seperti bapanya yang telah menyarung jersi kebangsaan sebanyak 34 kali.

Oleh itu, Haaland memulakan karier antarabangsanya bersama skuad remaja Norway pada 2015 sebelum melakukan penampilan senior pada September 2019 ketika bertemu Malta dalam pusingan kelayakan Euro 2020.

Mesin gol semula jadi

Ketika mewakili Red Bull Salzburg, ketajaman penyudah Haaland sukar diatasi oleh pertahanan pihak lawan apabila dia menjaringkan 17 gol dalam 16 perlawanan.

Namun, apa yang lebih menarik adalah ketika dia berjaya merakam tiga kali hatrik atau sembilan jaringan dalam sebuah perlawanan ketika membelasah Honduras 12-0 dalam kejohanan Piala Dunia Bawah 20 tahun pada Mei 2019.

Meskipun keputusan tersebut mengejutkan ramai peminat bola sepak dunia, namun agak malang kerana pasukannya gagal melepasi peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati pada aksi tersebut.

Haaland dianggap mesin gol untuk kelab Borrusia Dortmund.

Zlatan Ibrahimovic pemain idola

Kita sering mendengar pemain muda lebih memilih Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai idola.

Namun berbeza dengan Haaland, yang mempunyai ketinggian 6 kaki 4 inci serta kecenderungannya untuk menjaringkan gol menyebabkan dia digelar 'The Next Zlatan'. 

"Saya mempunyai ramai role model tetapi Ibrahimovic merupakan pemain yang paling saya minat," ujarnya.

"Cara kawalan bola dan ketajaman penyudahnya sangat baik, dan dia juga merupakan orang Scandinavia, oleh itu seseorang perlu menggantikan tempatnya."

Ibrahimovic dianggap idola buat Haaland.

Pendedahan awal 

Pernah beraksi di bawah kendalian Solksjaer ketika bermain di Molde dan dia telah memuji legenda Norway tersebut kerana memberi impak terhadap kariernya.

"Solskjaer memberi banyak impak dalam kehidupan saya serta mengajar tentang cara menjadi pemain bola sepak dengan pengalamannya yang muncul pemenang Liga Juara-Juara Eropah pada 1999," kata Haaland.

Walaupun sebelum ini desas-desus kuat mengatakan bahawa dia akan bermain semula dengan Solskjaer di Manchester United, namun segalanya terhenti apabila Haaland diumumkan sebagai pemain Borussia Dortmund pada jendela perpindahan Januari lalu.

Artikel Lain