SABAN tahun Liga Malaysia (Liga-M) sentiasa diwarnai dengan aksi-aksi menarik di atas padang. Selain pemain, pastinya individu kedua yang menjadi perhatian adalah pengadil perlawanan. Hakikatnya, pengadil adalah invididu paling penting dalam memastikan setiap perlawanan itu berjalan lancar tanpa ada sebarang kontroversi. ARTIKEL BERKAITAN: Pengadil Wanita Terbaik Asia Rita Gani Bakal Bertugas Di Rio ARTIKEL BERKAITAN: Liga Malaysia bakal diserikan dengan dua pengadil wanita Apa yang menarik perhatian Liga-M musim ini adalah kehadiran tiga wanita yang bakal menjadi watak penting dalam beberapa perlawanan Liga Perdana dan Piala FA. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah berani mempertaruhkan kebolehan pengadil wanita dalam aksi liga buat julung kalinya. Liga Malaysia bakal membuka tirai pada 28 Februari ini. Langkah berani ini sekaligus membuktikan bakat golongan wanita dalam sukan bola sepak juga memainkan peranan penting. Biarpun jumlah wanita yang menceburi bidang pengadilan ini masih kecil, namun langkah ini dianggap perintis dan ia akan membuka mata banyak pihak dan pada masa sama menarik minat lebih ramai kaum hawa untuk menjadi pengadil pada masa akan datang. Kenali tiga figura yang akan mengukir sejarah dalam sukan bola sepak negara bermula tahun ini. Tiga watak penting Rita Ghani Rita, 43 merupakan pengadil wanita profesional yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa sejak 2006. Pengadil kelahiran Sabah ini turut terpilih bertugas pada aksi Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada bersama seorang lagi pengadil negara, Widiya Shamsuri. Dia cuba mengumpul pengalaman sebagai pengadil keempat pada Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia 2014 di Vietnam. Rita menerima Anugerah Pengadil Wanita Terbaik Asia 2014. Malah Rita turut mengadili perlawanan separuh akhir kejohanan tersebut di antara pasukan Korea Selatan dan juara bertahan, Australia. Rita juga turut terlibat dalam aksi Kelayakan Piala AFC Wanita Bawah 16 Tahun 2015 serta Piala Algarve 2014 di Portugal. Kelibat Rita juga dapat disaksikan pada temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada 2016. Dengan rekod selaku penerima Anugerah Pengadil Wanita Terbaik Asia 2014 kredibiliti bekas penyerang skuad bola sepak wanita negara sebagai pengadil ini tidak perlu dipertikaikan. Nur Akmal Anuar Nur Akmal,32, merupakan Pengadil Fifa dan Penolong Pengadil Fifa sejak 2015 selepas menceburi bidang ini pada 2011. Rekodnya bukan calang-calang apabila dia turut mengadili beberapa aksi bertaraf antarabangsa seperti Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Qatar. Nur Akmal merupakan pengadil Fifa. Sebelum ini, Nur Akmal juga mengendalikan perlawanan antarabangsa antaranya Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil. Nurul Ain Izzaty Zainal Memulakan karier sebagai pengadil pada 2012 dan pernah menerima anugerah Pengadil Wanita Berpotensi 2017. Nurul Ain ketika menmgendalikan perlawanan Kejohanan Piala Tun Syarifah Rodziah. Pengalamannya sebagai pengadil Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun menjadikan Nurul Ain cukup bersedia berdepan dengan aksi liga yang lebih mencabar. Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, gadis berusia 22 tahun ini mula terlibat dalam bidang pengadilan selepas mendapat dorongan bapanya. Bukan calang-calang pengalaman bagi Nurul Ain memandangkan di juga pernah mengadili beberapa perlawanan besar antaranya Kejuaraan Bawah 14 tahun (B-14) AFC yang berlangsung di Laos pada tahun 2016. Peluang tampil dalam Liga Malaysia musim ini dianggap platform terbaik buat Nurul Ain untuk melebarkan sayapnya ke pentas lebih tinggi seperti yang diidamkan untuk muncul pada perlawanan di peringkat AFC dan Fifa.