PELBAGAI aktiviti yang dilakukan pemain bola sepak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti perniagaan malah ada yang kembali melakukan pekerjaan lama buat sementara waktu ketika Liga Malaysia masih ditangguhkan. Antaranya pemain tengah UKM FC, Syed Sobri Syed Mohamad, yang pulang ke kampung halaman di Kuala Kemaman, Terengganu untuk menjadi nelayan. Aktiviti ini bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya kerana telah mempunyai pengalaman sejak di usia kanak-kanak lagi turun ke laut bersama keluarga dan rakan-rakan. ARTIKEL BERKAITAN: PKP bawa Hariz layan kerenah awam semasa roadblock perangi Covid-19... lupakan seketika aksi di padang Tak mahu jadi kacang lupakan kulit Pemain berusia 26 tahun ini berbangga dapat melakukan pekerjaan ini jika ada masa terluang walaupun sudah bergelar pemain bola sepak profesional. "Sejak Mac lalu iaitu ketika arahan PKP dilaksanakan, saya ambil keputusan untuk pulang ke kampung selepas menjangka Liga Malaysia akan ditangguhkan dalam tempoh yang tidak diketahui sampai bila. Syed Sobri tidak pernah kekok melakukan kerja-kerja sebagai nelayan. "Apabila balik sini, memang menangkap ikan antara kegiatan yang saya buat kerana saya memang berasal daripada keluarga nelayan, memang tak kekok. "Saya akan turun ke laut di waktu malam dan balik menjelang subuh, begitulah rutin saya setiap hari pada tempoh PKP ini dan jika cuaca tidak mengizinkan, saya akan berehat. "Pelbagai ikan biasanya saya dapat seperti kembung, tongkol dan selayang, lumayan atau tidak semuanya bergantung kepada rezeki," jelasnya. Dia juga mendedahkan pada waktu petang, turut membantu ibunya di laman rumah menjual lauk pauk serta kuih muih sepanjang bulan Ramadan ini."Ibu saya memang dari dulu lagi berniaga makanan. Memang kepakaran dia memasak pelbagai jenis makanan," tambahnya. Sambutan raya berbeza Bagi anak bongsu daripada tujuh beradik ini, persiapan raya tahun ini amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.Ini kerana banyak perkara yang berubah sejak penularan Covid-19 seluruh dunia. "Wabak Covid-19 memang memberi kesan kepada semua termasuk rakyat Malaysia. Saya sekeluarga seperti biasa akan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi dengan cara yang sederhana sahaja. Syed Sobri (depan) mula keluar rumah selepas Asar dan akan pulang menjelang subuh. "Kami tidak ada perancangan untuk ke mana-mana memandangkan aktiviti ziarah memang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini. "Tiada persiapan raya yang istimewa bagi diri saya dan akan memakai baju raya sedia ada sahaja. Lagipun tahun lepas saya memang ada beli lebih. "Apa yang penting bagi saya sekarang adalah ingin melihat rantaian Covid-19 ini diputuskan, dan seterusya saya boleh kembali bersama pasukan mengharungi Liga Malaysia," jelasnya yang merindui aksi di padang. Kekal Cergas Dalam pada itu, bekas pemain Melaka United ini juga mengakui aktiviti menangkap ikan yang sedang dilakukannya masih menjadikan dia kekal cergas kerana pekerjaan itu bukan mudah untuk dilakukan oleh mana-mana individu. "Mungkin kerja menangkap ikan ini orang ingat macam mudah tetapi sebenarnya memerlukan kudrat yang kuat terutama ketika menarik pukat, tambah-tambah yang panjang. "Setakat ini selain lakukan latihan sendiri di rumah, saya rasa aktiviti menangkap ikan masih buatkan saya kekal bertenaga sepanjang tempoh PKP kerana ini satu pekerjaan yang berat," jelasnya. Sebahagian hasil tangkapan Syed Sobri dan lain-lain. Syed Sobri memulakan kerjaya bersama Sime Darby FC selama dua musim dari 2015 hingga 2016 sebelum ke Melaka pada musim berikutnya. Dia sempat menyarung jersi T-Team pada pertengahan musim 2017 sebelum pasukan itu dijenamakan semula kepada Terengganu FC II pada musim 2018 dan beralih arah bersama UKM FC sejak musim lalu. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!