PEMAIN import Terengganu FC (TFC) Lee Tuck menganggap pengalaman berpuasa di bulan Ramadan pada tahun ini sesuatu yang cukup berharga buat dirinya untuk menyelami sendiri perasaan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Pemain kelahiran England ini menyifatkan berpuasa penuh buat kali pertama adalah satu cabaran besar buat dirinya dan melahirkan rasa bangga terhadap rakan Muslim lain yang berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan. Lee Tuck yang tiba di Terengganu pada 2017, agak terkejut apabila pengalaman menahan lapar dan dahaga itu sebenarnya tidak menjejaskan kecergasan dirinya malah memberinya satu rasa yang cukup berbeza baik daripada segi ketahanan fizikal dan mental. ARTIKEL BERKAITAN: Tak dapat beraksi, mereka menderma! Lima pemain bola sepak popular dunia teruja sambut Ramadan Gementar belajar berpuasa Pemain berusia 32 tahun itu sempat berkongsi video dirinya berbuka puasa bersama isteri, Georgia Madelela di rumahnya di Terengganu. "Sememangnya satu pengalaman baharu untuk saya dan saya agak gementar pada mulanya untuk cuba berpuasa, tetapi akhirnya ia berjalan dengan cukup lancar. “Daripada situ saya berpeluang untuk merasai sendiri bagaimana seorang Muslim di sini berpuasa dan bagaimana mereka kuat untuk terus berdisiplin menahan lapar dan dahaga. Lee Tuck setia bersama TFC sejak 2017. Foto: Instagram Lee Tuck. "Sebelum ini saya pernah cuba juga, tetapi saya masih lagi minum air, cuma Selasa lalu adalah kali pertama saya berpuasa penuh tanpa minuman dan makanan. "Jadi saya agak terkejut saya dapat melakukannya kerana ia bukan mudah. "Satu penghormatan daripada saya dan keluarga kepada semua Muslim yang berpuasa selama sebulan dan saya bercadang ingin meneruskan puasa penuh ini sekurang-kurangnya sehingga satu atau dua hari dalam seminggu," jelas pemain kelahiran Huddersfield, United Kingdom ini. Kelonggaran keluar rumah Sejak pertengahan Mac lalu, semua aktiviti bola sepak ditangguhkan berikutan penularan pandemik Covid-19. Susulan itu juga, semua pemain Liga Malaysia dilarang menjalani latihan bersama pasukan masing-masing. Namun kini, Lee Tuck meluahkan rasa bersyukur apabila sekurang-kurangnya kini dapat melakukan aktiviti riadah di luar berbanding sebelum ini hanya berlatih di rumah. Lee Tuck lega kini boleh menjalani latihan di luar rumah. Foto: Instagram Lee Tuck. Apa yang penting, dia ingin terus positif untuk berharap agar pasukan dapat kembali berlatih bersama dalam masa terdekat ini sebagai persediaan mengharungi Liga Malaysia yang dijangka bersambung pada September. "Memang saya sangat berharap agar kami semua satu pasukan dapat kembali berjumpa dan berlatih bersama. "Tetapi sekurang-kurangnya untuk sekarang, kita patut bersyukur juga akhirnya dapat keluar melakukan aktiviti di luar kawasan rumah kerana sebelum ini semua orang hanya melakukan latihan ringan di rumah sahaja. “Sememangnya susah untuk kita menyesuaikan diri dengan situasi sekarang, tetapi apa lagi kita boleh buat dan saya tetap berlatih dengan kuat untuk pastikan tahap kecergasan saya di tahap terbaik selain sentiasa bersedia untuk memulakan saingan bila-bila masa," jelas bapa kepada seorang cahaya mata perempuan ini. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!