PETR Cech menegaskan dia 100 peratus sedia untuk membantu Chelsea jika diperlukan selepas namanya disenaraikan untuk memperkuat pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu. Cech yang memenangi empat trofi EPL dan Liga Juara-Juara di Stamford Bridge terkejut dengan senarai nama yang dikeluarkan bagi musim 2020-21. Penjaga gol berusia 38 tahun itu mengumumkan persaraannya pada hujung musim 2018-2019 dan kembali ke Chelsea sebagai penasihat teknikal dan prestasi pasukan. Namun dia kerap berlatih bersama skuad penjaga gol utama Edouard Mendy dan Kepa Arrizabalaga sejak kebelakangan ini serta bersedia membantu Chelsea sekiranya dipanggil untuk beraksi musim ini. "Saya 100 peratus sedia untuk membantu jika diperlukan. Saya cergas dan dengan latihan selama dua bulan, saya mempunyai kualiti yang sama. "Saya sudah berehat selama setahun. Jadi saya mempunyai tenaga dan badan saya kembali pulih selepas 20 tahun bergelar penjaga gol profesional," katanya. Arrizabalaga yang mencatatkan rekod perpindahan tertinggi jarang diturunkan dan posisinya sering diisi Mendy yang menjadi pilihan utama pengurus Frank Lampard. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!