ARSENAL dilaporkan telah bersetuju dengan harga GB£ 25 juta (RM146.6 juta) yang ditawarkan Newcastle United untuk mendapatkan bintang mudanya, Joe Willock. Berdasarkan laporan Sky Sport, perjanjian peribadi antara Newcastle dan Willock belum dimuktamadkan. Bagaimanapun, pasukan itu dikatakan mahu menyelesaikan urusan perpindahan dengan segera bagi membolehkan pemain berusia 21 tahun itu tampil dalam aksi pembuka Liga Perdana England pada 16 Ogos depan. Newcastle United dijadualkan bertemu dengan West Ham United untuk perlawanan pertama mereka musim ini. Newcastle sudah lama memerhatikan perkembangan Willock dan berhasrat untuk mendapatkan khidmat perancang tengah itu secara tetap selepas dia dipinjamkan ke St. James 'Park pada penghujung saingan musim lepas. Hal itu diberitahu pengurus The Magpies, Steve Bruce yang sebelum ini benar-benar berhasrat mahu mengekalkan Willock. Willock sebelum ini telah mencatat rekod tersendiri dengan menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol dalam tujuh penampilan berturut-turut di Liga Perdana England bersama Newcastle selain turut mencetak lapan gol dalam 14 penampilan musim lepas. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Difahamkan, Willock tidak lagi berada dalam perancangan The Gunners terutamanya apabila diketepikan ketika berdepan Tottenham Hotspur dalm aksi pra-musim baru-baru ini.. Pengurus Arsenal, Mikel Arteta bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya akan menjelaskan mengenai masa depan Willock di Emirates kelak. Jika Willock berjaya dijual, Arsenal juga dilaporkan bakal menggunakan hasil jualan tersebut untuk memikat tonggak Leicester City, James Maddison sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Maddison sebelum ini tanpa berselindung mengakui berminat untuk berhijrah ke kota London meskipun Leicester menamatkan saingan di atas Arsenal dalam dua musim terakhir liga, namun masih belum ada sebarang tawaran rasmi yang telah dikemukakan Arsenal bagi mendapatkan pemain itu setakat ini.Setakat ini, Arsenal baru saja menghabiskan GB£ 50 juta (RM293 juta) untuk mengikat pemain pertahanan Brighton, Ben White. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!