suria

Daripada raket badminton ke tukang kasut... Inilah kisah inspirasi Greysia Polii, pemenang pingat emas Olimpik Indonesia

PEMENANG pingat emas Olimpik Tokyo 2020 buat kontinjen Indonesia dalam acara beregu wanita badminton ini pernah terfikir untuk bersara pada 2012. — INSTAGRAM/Swan Jewellery

PERNAH berhasrat mahu bersara dari sukan badminton pada tahun 2012, atlet beregu wanita Indonesia, Greysia Polii, bersyukur kerana tidak mengikut kata hati.

Ternyata, keputusan Greysia untuk menangguhkan hasrat menggantung raket akhirnya berjaya membuahkan hasil dengan kejayaan meraih emas di Olimpik Tokyo 2020 tempoh hari.

Bergandingan bersama rakan beregu Apriyani Rahayu, Greysia memberitahu, sepanjang kariernya dia tidak pernah fokus terhadap pencapaian tetapi hanya memberikan usaha yang maksimum untuk meraih kejayaan demi kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertainya.

KEJAYAAN di Olimpik merupakan bukti bahawa pilihan untuk kekal tidak sia-sia

GREYSIA (kiri) dan Apriyani berjaya mengharumkan nama Indonesia di pentas Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini. — AGENSI.

"Saya sudah 90 peratus yakin untuk bersara selepas hilang kelayakan dalam Sukan Olimpik London 2012. Begitupun, saya cuba untuk melupakan apa yang telah terjadi dan mengembalikan motivasi serta memberikan yang terbaik dalam karier.

"Kejayaan di Olimpik membuktikan bahawa keputusan saya itu tidak sia-sia. Siapa yang tidak mahu menjadi juara Olimpik... namun saya dan Apriyani tidak terlalu fokus untuk itu tetapi hanya memberikan yang terbaik sepanjang pertandingan berlangsung," katanya dalam wawancara eksklusif bersama CNN Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami tidak beraksi dengan baik, gagal sudahi peluang"... Guardiola akur kalah dengan Spurs

Pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, gandingan Greysia dan Apriyani berjaya menewaskan pasangan China, Chen Qingchen-Jia Yifan dengan keputusan straight set 21-19, 21-15 di pentas final bagi membolehkan Indonesia meraih emas pertama Olimpik dalam acara beregu wanita.

Pemain badminton senior Indonesia itu turut berkongsi cerita bahawa dia juga tidak lari daripada tekanan sebagai salah satu tonggak kepada pasukan beregu wanita di sana selama lebih satu dekad.

GREYSIA menyidatkan Apriyani sebagai atlet yang berbakat besar dan merendah diri.

MOMEN ketika muncul juara acara beregu wanita di bumi Tokyo tempoh hari. — AGENSI.

Jelasnya, walaupun tidak fokus kepada pencapaian, dia dan Apriyani tetap terpalit dengan tekanan memandangkan badminton adalah salah satu sukan kebanggaan negara jiran itu.

Menurutnya, tekanan makin memuncak apabila menjadi satu-satunya wakil Indonesia yang tinggal untuk memburu emas Olimpik di bumi Tokyo.

"Malahan selepas menang, perasaan kami bercampur baur dan ada ketika seperti terlupa yang ini adalah Sukan Olimpik.

"Tipu jika kami tidak gugup tetapi kami tetap berusaha memberikan yang terbaik.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kemenangan ini adalah kebanggaan untuk skuad badminton Indonesia dan juga satu penanda aras baharu untuk pasukan beregu wanita," ujarnya.

Bercerita tentang hubungannya dengan Apriyani, Greysia memberitahu, keserasian mereka merupakan kunci kepada kejayaan kontinjen Indonesia.

Mula mengenali sesama sendiri semasa bertanding acara perseorangan pada Kejohanan Nasional 2016, Greysia melihat Apriyani sebagai seorang atlet yang berpotensi dan merendah diri.

Malah cerita Greysia, Apriyani juga cukup menghormati golongan lebih senior dan sering mencium tangan tanda hormat setiap kali bertemu.

GREYSIA telah berkahwin dengan suami, Felix Djimin pada 23 Disember 2020.

GREYSIA sudah menamatkan zaman bujang bersama jejaka pilihan hatinya, Felix Djimin pada Disember tahun lepas. — AGENSI.

Berkongsi tentang perancangan selepas emas Olimpik pula, Greysia memberitahu, dia akan cuba memberikan yang terbaik untuk menyumbang lebih banyak kejayaan kepada skuad badminton negara republik itu.

Cuma pada masa sama, Greysia seakan-akan memberikan bayangan awal tidak akan mempertahankan emas yang dimenanginya selepas menegaskan edisi Tokyo 2020 sebagai penampilan terakhirnya di pentas Olimpik.

Sudah berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Felix Djimin pada Disember tahun lalu, Greysia juga sudah mula berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang perniagaan apabila mengeluarkan jenama fesyen sukan sendiri iaitu Fine Counsel.

PRESIDEN Jokowi menyarung kasut sneakers yang dibeli terus dengan Greysia semasa majlis penghargaan atlet Olimpik Indonesia baru-baru ini.

PRESIDEN Indonesia, Jokowi menyarung kasut sneakers yang dihasilkan Greysia semasa majlis penghargaan atlet Olimpik Indonesia baru-baru ini. - — AGENSI.

Jelasnya, perniagaan itu merupakan perancangan jangka panjang selepas bersara daripada arena badminton nanti.

Berpusat di Malang, Jawa Timur, Indonesia, pembuatan produknya juga merupakan hasil tangan golongan wanita di sana.

Pada majlis penghargaan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini, Greysia juga menawarkan kasut jenis sneakers jenamanya kepada pemimpin negara itu.

Sebagai tanda sokongan, Presiden Jokowi turut membeli kasut berkenaan dan menyarungnya sendiri di hadapan penyumbang emas tunggal kontinjen Indonesia pada Olimpik Tokyo 2020 itu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

badminton, greysia, apriyani, Indonesia, sukan

Artikel Lain