suria

"Lengan saya tak mampu bergerak seperti biasa"... Marquez rindu menangi perlumbaan

Pada Jun lalu, Marquez berjaya memperoleh kemenangan di GP Jerman dan ia merupakan kemenangan pertama selepas berehat daripada perlumbaan akibat kecederaan,

JUARA dunia MotoGP, Marc Marquez optimis untuk kembali bangkit dalam karier perlumbaan MotoGP biarpun bimbang keadaan lengannya tidak akan kembali normal akibat kemalangan yang dihadapinya tahun lalu.

Marquez mengalami kecederaan patah lengan pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol di Jerez pada Julai 2020 sehingga terpaksa meninggalkan kerjayanya seketika sebelum membuat penampilan semula pada GP Portugis April lalu.

Menurutnya, ketika mengalami kecederaan itu, dia tidak tidak mampu untuk memegang walaupun hanya sebotol air selama beberapa bulan.

“Saya bimbang saya tidak akan dapat keadaan lengan yang normal.

“Ada satu situasi yang berlaku sekitar Oktober sehingga November ketika saya tidak dapat mengambil sebotol air, saya cuba untuk makan, tapi lengan saya tidak mampu bergerak seperti biasa,” katanya memetik laporan Sportstar.

ARTIKEL BERKAITAN: Chelsea hilang khidmat Pulisic, bakal beri kelebihan buat Arsenal?

Pada Jun lalu, Marquez berjaya memperoleh kemenangan di GP Jerman dan ia merupakan kemenangan pertama selepas berehat daripada perlumbaan.

Namun dia masih ketinggalan dalam carta MotoGP, dengan menduduki tangga ke-11 dan ketinggalan 122 mata di belakang pendahulu Fabio Quartararo.

Pada masa sama, pelumba berusia 28 tahun ini berkata, ketika berdepan waktu sukar itu dia amat merindui untuk memenangi perlumbaan, namun terpaksa akur berikutan keadaannya ketika itu.

“Saya memerlukan motivasi yang tinggi pada ketika itu memandangkan ia kali pertama saya berdepan dengan keadaan sukar sepanjang karier.

"Pada situasi yang baik, semua orang gembira dan tersenyum, namun di saat-saat sukar kamu harus laluinya dengan tabah.

“Kalau ikutkan cara paling mudah untuk saya adalah berhenti sementata dan kembali selepas setahun atau dua tahun apabila saya sudah bersedia, tapi itu bukan cara saya,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Marc Marquez, patah lengan

Artikel Lain