BEKAS Pengerusi Persatuan Tenis di Belgrade, Serbia, Goran Bubanj percaya arena tenis masih dikuasai pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic pada tahun ini. Menurutnya, meskipun pemain kelahiran Belgrade, Serbia itu gagal dalam final terbuka Amerika Syarikat (AS) 2021, dia masih unggul dalam tiga acara Grand Slam tahun ini. "Secara keseluruhan, Djokovic masih cemerlang sebagai pemain paling berjaya tahun ini dan kekalahan kepada Daniil Medvedev (final Terbuka AS) tidak menjejaskan rekod itu. "Mengenai final Terbuka AS, persembahan Djokovic dalam kejohanan itu tidak seperti kebiasaan dan dia juga tidak memiliki rancangan permainan yang jelas," katanya. Tambahnya lagi, sepanjang kejohanan Medvedev dilihat sentiasa fokus dan meraih keyakinan daripada setiap rintangan yang diatasi. Jelasnya lagi, Djokovic tidak memiliki banyak peluang dan Terbuka AS juga berlangsung untuk tempoh masa yang pendek bagi sebuah Grand Slam. Untuk rekod, Djokovic masih unggul di tangga teratas kedudukan pemain tenis dunia dengan mata terkumpul sebanyak 12,133 setakat ini. Dia juga merupakan pemain kelima di dunia yang mempunyai rekod kekal dalam senarai 10 teratas selama 700 minggu sebaris Roger Federer, Rafael Nadal, Jimmy Connors dan Andre Agassi. — Agensi Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI