suria

Bola Jaring: Bayangan Awal Senarai Akhir Pemain Dikenal Pasti

KUALA LUMPUR: Persiapan skuad bola jaring kebangsaan memasuki fasa akhir dengan bayangan awal senarai 12 pemain sudah dikenal pasti bagi menggalas cabaran Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Penolong jurulatih skuad bola jaring negara, Aminah Asaari berkata anakbuahnya sedang melengkapkan fasa kedua latihan sehingga hujung minggu ini, sebelum memulakan fasa ketiga bermula April depan.

"Untuk fasa ketiga, tiga pemain dari senarai awal 18 pemain akan digugurkan menjadi 15 dan seterusnya pada 1 Julai, senarai akhir 12 pemain akan diumumkan.

"Memang kami sudah ada bayangan awal senarai akhir 12 pemain, tetapi persaingan tetap sengit dengan setiap pemain menunjukkan prestasi serta komitmen yang bagus," katanya kepada Bernama selepas latihan pasukan itu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Aminah menjelaskan banyak faktor yang dinilai sebelum memilih seseorang pemain mewakili negara antaranya dari segi prestasi, kecergasan dan disiplin.

"Semua pemain sudah mengetahui mereka akan dinilai dan digugurkan sehinggamenjadi 12 orang dan mereka harus bersaing untuk mendapatkan tempat dalam pasukan negara," katanya.

Sementara itu, Nurul Adha Abu Bakar berkata walaupun menjadi ketua pasukan ,itu tidak menjanjikan tempat buatnya dan beliau perlu menunjukkan kesungguhan serta kekal fokus dalam sesi latihan.

"Kami sebagai pemain perlu kekal positif serta bersaing secara sihat dan terpulang kepada jurulatih untuk membuat pilihan," katanya yang sedang dalam proses pemulihan akibat kecederaan pada pergelangan kaki kiri yang dialami semasa latihan.

Skuad negara bakal 'berkampung' selama lima hari di utara tanah air bagi menghadapi perlawanan persahabatan bertemu Pulau Pinang dan Kedah sebagai persiapan bagi fasa ketiga latihan.

Untuk rekod, skuad bola jaring negara berputih mata pada Sukan SEA 2015 apabila meraih pingat perak, selepas tewas tipis 43-46 berdepan tuan rumah Singapura dalam perlawanan akhir. -Bernama

Bola Jaring, Sukan SEA