suria

Malaysia Boleh Jadi Juara!

PETALING JAYA: Debaran semakin dirasai di kalangan atlet mahupun jurulatih yang kini dalam detik akhir persiapan menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan membuka tirainya pada 19 hingga 30 Ogos depan.

Mana tidaknya, peluang untuk memacu Malaysia muncul juara keseluruhan kini terletak di bahu para atlet yang akan diturunkan pada temasya terbesar di Asia Tenggara itu.

Sudah tentu kenangan akan jadi lebih indah jika 'kejayaan' itu diraikan pada sambutan ambang kemerdekaan pada malam 30 Ogos nanti.

Bagi peminat tegar sukan negara, Mansor Abdul Khoni atau lebih dikenali sebagai Tok Mo, beliau membayangkan Malaysia boleh bergelar juara.

"Insya-Allah, kita boleh jadi juara. Kita juga boleh menang bola sepak di Kuala Lumpur," katanya kepada mStar Online.

Keyakinan Tok Mo itu hadir selepas mengambil kira status Malaysia selaku tuan rumah dan kekuatan barisan atlet yang diturunkan pada temasya dwi tahunan tersebut.

Namun, beliau berkata ramalan itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya semua atlet berjuang atas nama Malaysia.

"Kita bukan tak biasa menang. Kita pernah menang (bola sepak) di Laos dan Vietnam tapi (atlet) kena tanam semangat untuk negara," katanya.

Beliau berkata semangat bermain demi negara merupakan kunci kejayaan atlet sebagaimana dipamerkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David (skuasy) dan Azizulhasni Awang (berbasikal trek).

Tok Mo akan terus menyokong pasukan Malaysia selagi masih berdaya.

"Jangan tanam semangat main untuk negeri atau kelab. Itu kita kena elakkan. Bila atlet bersemangat sudah tentu penyokong akan penuhkan stadium," katanya.

Pada sama sama, Tok Mo berharap agar semua atlet mencontohi pengorbanan ahli Kelab Penyokong Malaysia (Famemas) yang terus berdiri di belakang pasukan negara tidak kira kalah mahupun menang.

"Kami sanggup tinggal anak bini, cuti kerana negara. Kalau pemain tak ingat kami, tak tahu nak cakap apa. Kami dan berkorban untuk negara habis-habisan sampai sekarang.

"Sudah tiba bagi atlet negara buktikan keupayaan mereka untuk negara. Saya minta mereka tanam semangat Famemas dalam diri mereka," katanya.

Ditanya mengenai kelebihannya dalam membuat ramalan berkaitan sukan, Tok Mo bagaimanapun enggan disamakan seperti seorang bomoh.

"Saya tak fikir (saya) sama seperti mereka. Saya bukan pandai 'buat' orang. Tok moh tu banyak, berpuluh-puluh ribu tapi di Malaysia hanya ada seorang saja Tok Mo, penyokong setia sukan Malaysia," katanya.

Beliau berkata gelaran Tok Mo itu sebenarnya diberikan oleh rakyat Malaysia kepada dirinya selepas doa yang dibacanya setiap kali sebelum perlawanan membawa 'hasil' untuk atlet negara.

"Sebelum game saya baca doa dulu, jadi semua akan angkat tangan tak kira bangsa. Mereka tanya boleh menang, saya cakap Insya-Allah. 

"Ramalan yang saya berikan kebanyakannya tepat. Dalam 10 hanya satu sahaja yang salah. Itu yang buat ramai percaya pada saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Liverpool Lega

Artikel Lain