REAL Madrid memastikan gelaran juara La Liga 2016/17 milik mereka, pertama kali selepas kali terakhir meraih gelaran ini pada musim 2011/12. Real mengalahkan Malaga 2-0 di La Rosaleda, awal pagi Isnin. Skuad Zinedine Zidane hanya memerlukan satu mata atau keputusan seri untuk bergelar juara selepas memimpin carta dengan kelebihan tiga mata di atas musuh ketatnya Barcelona. Real mengumpul 93 mata dari 29 kemenangan dan enam kali seri, untuk meninggalkan Barca. Barca terpaksa berpuas hati berada di tempat kedua walaupun menewaskan Eibar 4-2 di Camp Nou. Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema menjadi wira bagi Real apabila masing-masing menyumbangkan satu gol dalam perlawanan penentu ini. Marca melaporkan, skuad Zidane adalah pasukan pertama juara La Liga yang tidak pernah terlepas daripada menjaringkan gol dalam setiap pertandingan La Liga dan saingan lain. Sehingga tamat musim, Real sentiasa menjaringkan gol dalam 64 perlawanan yang dihadapinya. Kali terakhir Real pulang tanpa gol adalah pada 26 April 2016 ketika berdepan Manchester City dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2015/16. Bagi Ronaldo, gol pembukaannya dalam perlawanan ini menjadi gol ke-40 yang dicatatkan musim ini untuk semua perlawanan. Untuk La Liga, Ronaldo mencatatkan rekod 25 gol, pemain ketiga menjaringkan gol paling banyak di belakang Lionel Messi (37) dan Luis Suarez (28).