KEMAMAN: Terengganu berjaya mencatat lebih 10,000 pelari sukarelawan sepanjang sembilan hari berlangsungnya Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bersempena Sukan SEA ke-29 di negeri tersebut. Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohamad Mazlan Anis berkata setakat ini, Terengganu menjadi negeri paling lama memegang ‘Obor Bangkit Bersama' yang telah dibawa ke seluruh daerah bermula 16 Julai hingga ke pada Isnin. “Selepas ini obor tersebut akan memasuki negeri Pahang bermula hari ini hingga 30 Julai, seterusnya Selangor dan Kuala Lumpur. “Larian yang bermula dari Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman sejauh enam kilometer berakhir di pintu gerbang sempadan Terengganu - Pahang. Turut serta dalam larian itu dan menjadi tumpuan orang ramai adalah legenda lompat kijang dan lompat jauh negara, Mohd Zaki Sadri yang turut hadir memberikan sokongan,” katanya menurut Bernama. Terdahulu, obor dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar kemudiannya diserahkan kepada wakil negeri Pahang iaitu ADUN Panching, Datuk Mohd Zaili Besar diiringi dengan laungan keramat 'Bangkit Bersama' oleh para pelari.