PETALING JAYA: Atlet 'terbang' dunia, Abdul Latif Romli lega apabila ibunya sudah keluar daripada hospital. Atlet paralimpik lompat jauh negara ini berkesempatan melawat ibunya, Salmah Yatim,59, di hospital di Perlis sebaik sahaja tiba dari London minggu lalu. Menurut Latif, ibunya dimasukkan ke hospital gara-gara terjatuh daripada motosikal. "Saya 'tau' masa kat London lagi. Mujur tiada yang serius. Hanya luka di kaki 'saja'. "Lepas tiba di KL Selasa lepas, terus saya balik kampung tengok mak," ujarnya ketika dihubungi mStar Online. Jelas atlet tinggi lampai berusia 20 tahun itu, dia lega ibunya makin sembuh dan kini boleh memberi fokus kepada latihan menjelang Sukan SEA (KL2017) bermula 19 Ogos ini. "Saya ingin 'terbang' di tempat sendiri dengan cuba membuat rekod baharu. Saya harap dengan tempoh yang ada ini, sempat melakukan persiapan terakhir," katanya. Latif merupakan pemegang rekod dunia acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) apabila sekali lagi dia berjaya meleburkan merakam rekod lompatan sejauh 7.37 meter pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London akhir Julai lalu. Pada kejohanan Kejohanan Dunia di Qatar dua tahun lalu, Latif mencatat lompatan sejauh 7.35m.