suria

Kontinjen Malaysia Jalani Raptai

KUALA LUMPUR: Kontinjen Sukan SEA Malaysia akan menjalani sesi raptai selama seminggu menjelang Sukan SEA ke-29 (KL2017) untuk menyesuaikan diri dengan kemudahan yang disediakan menjelang temasya sukan itu yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos.

Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA Datuk Marina Chin berkata, raptai akan dijalankan bermula Sabtu hingga 10 Ogos semasa fasa terakhir kem latihan di penginapan rasmi kontinjen bagi sukan itu, di sini.

Bekas ratu trek negara itu, yang merangkul tujuh pingat emas Sukan SEA berkata lebih 1,000 atlet dan pegawai yang mengambil bahagian dalam sukan itu akan terlibat menguji kemudahan dan perkhidmatan yang akan digunakan semasa temasya sukan tersebut.

“Para atlet akan melakukan perjalanan dari hotel ke pelbagai venue pertandingan untuk menguji sistem pengangkutan, arena pertandingan sebenar serta kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di hotel seperti perubatan, fisioterapi, makanan dan lain-lain,” kata beliau kepada Bernama.

“Kami berharap dengan melakukan ini, kita boleh mengurangkan atau mengatasi apa-apa masalah yang mungkin timbul semasa Sukan SEA supaya semasa sukan itu berlangsung, para atlet boleh memberi tumpuan  bagi melakukan yang terbaik untuk negara,” kata beliau ketika ditemui selepas muncul sebagai tetamu dalam program Ruang Bicara yang disiarkan oleh Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama Khamis malam.

Bagaimanapun, atlet dari beberapa acara sukan seperti ekuestrian, polo, muay dan terjun tidak akan menghadiri raptai kerana komitmen, latihan atau pertandingan di dalam negara atau di luar negara.

Marina yang bertanggungjawab bagi 876 atlet Malaysia, juga menasihatkan atlet untuk lebih berhati-hati dalam kehidupan harian mereka untuk mengelakkan risiko mengalami kecederaan dan kemalangan kerana hanya tinggal 15 hari sebelum Sukan SEA membuka tirai.

“Jika ada isu-isu kecil, bawanya ke pihak pengurusan, kita boleh menanganinya…Anda tidak perlu bimbang mengenai apa-apa kecuali meningkatkan kapasiti fizikal untuk dan kapasiti mental untuk memberi fokus kepada tugas yang digalas,” kata beliau.

Turut diundang dalam program bual bicara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (Masoc), Datuk Seri Zolkples Embong.

Kontinjen seramai 876 anggota itu akan berentap dalam 397 daripada 404 acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2017, dengan wawasan untuk membantu Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan pada sukan dwitahunan itu.

KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Vingada Gugur 11 Pemain

Artikel Lain