suria

Asyraaf Merayu

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih bola sepak wanita merayu kehadiran rakyat negara ini menjelang perlawanan pembukaan Sukan SEA (KL2017) bermula Selasa ini.

Mohd Asyraaf Fong Abdullah meminta semua penyokong bola sepak tempatan bersama-sama ke stadium memberi sokongan kepada pasukan wanita negara yang bakal bertemu Filipina pada perlawanan esok.

Enggan mengulas mengenai ketiadaan siaran langsung bagi perlawanan bola sepak wanita, jelasnya kehadiran penyokong amat penting bagi memberi semangat kepada pasukan wanita negara.

"Saya berharap semua memberi sokongan moral kepada bola sepak wanita kita yang sedang membangun. Bola sepak wanita ini nampaknya kurang diberi perhatian dan tumpuan.

"Kalau kita boleh bermula sekarang, mungkin di masa hadapan bola sepak wanita ini akan lebih diberi perhatian,"  jelasnya ketika ditemui selepas mesyuarat pengurus-pengurus pasukan bola sepak wanita KL2016, Isnin.

Sementara itu, Asyraaf juga mahu anak buahnya memberi fokus kepada perlawanan pertama kerana ia amat penting untuk moral pemain-pemain sebelum meneruskan tiga lagi aksi seterusnya.


"Kita akan bertemu Filipina esok (Selasa) dan selepas itu Myanmar. Dua perlawanan awal ini amat penting untuk mengutip mata.

"Jika dua-dua perlawanan awal kita mencatat mata, peluang untuk meraih gangsa amat cerah.

"Kerana kita tidak boleh tercicir mata. Selepas dua perlawanan ini kita akan menentang Thailand dan Vietnam. Dua pasukan ini adalah pasukan yang kuat.

"Kita juga akan turunkan pemain yang terbaik. Mereka juga bersemangat untuk membuktikan bola sepak wanita negara berada di landasan yang terbaik," tambahnya.

Sebanyak lima pasukan termasuk Malaysia Myanmar, Vietnam, Filipina dan Thailand akan bermain secara 'round robin'.

Malaysia membuka tirai perlawanan bertemu Filipina di Stadiun UiTM Shah Alam pada Selasa.

Untuk rekod, pada aksi di Sukan SEA di Myanmar dua tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat.

Dalam pada itu ketua jurulatih skuad Filipina, Marnelli Dimzon mengakui pasukannya bukan menjadi pilihan.

"Semua pemain kami masih muda dalam lingkungan 16-20 tahun. Kami hanya berlatih dalam tempoh dua bulan sebelum Sukan SEA.

"Ia dianggap sebagai pengalaman baharu kepada pemain-pemain sebelum ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini," ujarnya yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan Filipina.

KL2017, Bola Sepak Wanita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain