suria

Masoc Tak Kompromi Isu Keselamatan

KUALA LUMPUR: Dakwaan pasukan bola sepak wanita Myanmar yang diluahkan di laman Facebook berhubung masalah pengangkutan untuk skuad itu kembali ke hotel pengingapan telah mendapat perhatian pihak berwajib.

Menerusi laman Facebook Myanmar Football 12th Players itu, pemandu bas yang dikatakan tiba lewat itu didakwa tidak berpengalaman dan telah ditahan pihak polis untuk siasatan.

Kejadian itu berlaku selepas perlawanan pasukan itu menundukkan Malaysia 5-0 di Stadium UiTM, Shah Alam, Khamis.

Susulan itu, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) mengeluarkan kenyataan pada Jumaat menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.

Kata jawatankuasa itu, siasatan itu bagi  memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil kepada sesiapa yang telah melakukan kesalahan jenayah atau melanggar sebarang undang-undang.

"Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang isu keselamatan berkenaan dengan KL2017, terutamanya berkenaan dengan keselamatan kontinjen.

"Masoc juga telah mengeluarkan amaran khas kepada kontraktor atau operator pengangkutan KL2017 untuk membuat saringan semula yang lebih ketat ke atas pemandu dan petugas supaya benar-benar bersih dari sebarang kesalahan.

"Jika gagal, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, seperti penamatan kontrak serta-merta," kata Masoc.

Rungutan menerusi media sosial itu juga menyebut pasukan Myanmar itu mendakwa pemanduan pemandu terlibat membuatkan mereka ketakutan.

"Perjalanan bertolak ke hotel tertangguh sehingga pukul 11.40 malam. Malu dengan kamu Malaysia.

"Dia (pemandu) membuatkan semua orang ketakutan. Kami difahamkan pemandu itu ditahan polis untuk siasatan," dakwa kontinjen itu.

Difahamkan ia adalah rungutan kedua selepas Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita Thailand, Spencer Prior mengkritik penganjur apabila menyifatkan Sukan SEA kali ini antara temasya paling buruk pernah dianjurkan.

Kritikan itu dilemparkan selepas skuad kendaliannya hanya sempat berlatih selama 15 minit di atas padang sebelum diarah penganjur memberi laluan kepada pasukan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pemandu bas KL2017 disyaki terlibat dalam siasatan kes kehilangan jam.

Siasatan kes itu dibuat sebaik pihaknya menerima laporan itu daripada anggota pasukan bola sepak wanita negara pada kira-kira pukul 10 malam, Khamis.

"Siasatan mendapati pemandu bas berusia 27 tahun disyaki mengambil jam berkenaan.

"Polis menemui jam itu dalam bas yang dipandunya. Dia adalah pemandu bas untuk pasukan Myanmar," katanya.

Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu dan telah ditahan reman sehingga 20 Ogos," katanya.

Masoc, KL2017

Artikel Sebelum

Warna-Warni KL2017, Jumaat

Artikel Berikut

Artikel Lain