suria

Elemen Kejutan Menanti Penonton Perasmian KL2017 Malam Ini

Upacara perasmian Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi upacara perasmian gilang-gemilang Sukan SEA (KL2017) pada Sabtu malam.

Selepas 16 tahun, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah temasya sukan berbilang acara terbesar di Asia Tenggara, sekaligus menyamai rekod Thailand yang pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA sebanyak enam kali.

Secara rasminya temasya berprestij, KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos melibatkan 5,000 atlet dari 11 negara yang bakal bertanding dalam 404 acara daripada 38 jenis sukan.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) menjanjikan upacara pembukaan penuh warna-warni dan mampu meninggalkan memori kepada seluruh rakyat Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Masoc, Datuk Seri Zolkples Embong, upacara pembukaan rasmi temasya KL2017 malam ini nanti sebagai suatu pengalaman menarik dan diingati ramai.

Beliau memberitahu, pihaknya akan memastikan persembahan itu berbaloi dengan nilai untuk wang semua penonton yang datang ke Stadium Nasional dan bakal menghidangkan elemen kejutan pada malam ini.

Stadium Nasional yang terletak di Bandar Sukan Kuala Lumpur, baharu sahaja menjalani kerja naik taraf dan pengubahsuaian, boleh menempatkan sejumlah 85,000 penonton dalam satu masa.

Yang Di-pertuan Agung, Sultan Muhammad V berkenan merasmikan KL2017 malam ini.

Selain itu, pada majlis perasmian nanti, jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa dipilih sebagai pembaca ikrar atlet pada temasya ini.

Nauraj merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar dan 2015 di Singapura.

Namun nama pembawa obor negara perasmian hanya akan diketahui pada upacara malam ini.

Dalam pada itu, kontinjen negara yang bakal berbaris malam ini pastinya akan lebih bersemangat memandangkan Malaysia mendahului kedudukan pingat emas setakat pagi Sabtu.

Beberapa acara sudah bermula lebih awal dan pasukan negara berjaya meraih tujuh pingat emas, empat perak dan tiga gangsa dengan mengatasi Singapura yang berada di kedudukan kedua dengan dua emas, dua perak dan tiga gangsa.

Sebagai makluman, pintu stadium akan dibuka pada pukul 4 petang dengan diikuti program pra acara yang bermula pada pukul 6 petang sebelum upacara pembukaan berlangsung pada pukul 8 malam. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain