suria

Pingat Emas Bola Jaring Kembali Ke Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Pasukan bola jaring negara berjaya menamatkan kemarau meraih pingat emas selepas 16 tahun dalam temasya Sukan SEA (KL2017) edisi ke-29 di gelanggang sendiri.

Skuad kendalian jurulatih Tracy Robinson dari Australia mula menunjukkan taring lebih awal meninggalkan musuh tradisi mereka, Singapura.

Malaysia mencatat kemenangan besar dengan jaringan 65-41.

Kekecewaan dua tahun lalu ketika final KL2017 di Singapura apabila skuad Malaysia tewas tipis tiga mata sekaligus meraih pingat perak akhirnya dipadamkan di depan penyokong negara.

Namun hampir dua tahun memendam dendam, mereka bangkit menunjukkan corak permainan pantas, mengawal setiap pemain lawan dan tidak mensia-siakan peluang jaringan.

Sejak pusingan awal, An Najwa Azizan selaku penjaring utama (GS) terus menunjukkan aksi mantap bergandingan dengan penyerang (GA) Izyan Syazana Mohd Wazir.

Pemain di bahagian tengah, Nur Fariha Abd Razak serta Pow Mei Foong juga beraksi lincah memastikan hantaran terus jaringan negara.

Manakala pemain pertahanan, Noramirah Dayana Noor Azhar (GD) dan Siti Nor Farhana Mustafa bekerja keras memastikan dua penjaring lawan, Charmaine Soh Shi Hui (GS) dan Zhang Ailin (GA) tidak mudah bergerak di kawasan mereka untuk menjaringkan gol.

Pada set pertama, skuad Malaysia meraih keputusan 20-7, diikuti 36-12 (16-5).

Bagaimanapun pada set ketiga permainan bertambah sengit apabila Singapura cuba mengatur strategi baharu, menukar pemain dan berjaya mengatasi jaringan 15-16 (51-28).

Permainan pada set keempat menyaksikan Malaysia makin jauh meninggalkan juara bertahan itu dengan keputusan 65-41.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas pada temasya di Kuala Lumpur pada 2001.

Manakala acara bola jaring tidak dipertandingkan pada temasya 2003 hingga 2013.

Dalam pada itu, turut hadir menyaksikan perlawanan akhir ini termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar.

Senarai pemain:

Malaysia: An Najwa Azizan (GS), Izyan Syazana Mohd Wazir, Noramirah Dayana Noor Azhar (GD),Karishma a/p S.Loganathanm, Noramirah Dayana Noor Azhar (GD), Norashikin Kamalzaman, Nur Syafazliyana Mohd Ali, Nurfariha Abd Razak (WA), Pow Mei Foong (C), Puah Pei San, Shandralelka a/p Shanmugam, Siti Nor Farhana Mustafa (GK), Yap Suo Kuen (WD).

Singapura: Charmaine Soh Shi Hui (GS), Chen Lili, Kimberly Lim (WA), Lee Varessa (WD), Melody Teo, Ng Guat Ting Jocelyn, Nur Aqilah Afiqah (GD), Nurul Baizura Abdul Razak (C), Nair Parreen, Teo Shing Xie Na (GK), Toh Kai Wei dan Zhang Ailin (GA).
bola jaring, KL2017

Artikel Lain