suria

Bakal Jurutera Wakili Malaysia Acara Ski Air

PUTRAJAYA:“Menggapai impian bergelar jurutera adalah keutamaan saya, tetapi ia tidak menghalang minat saya untuk berjaya dalam bidang sukan,” kata atlet ski air negara Muhamad Haziq Zohari.

Haziq, 27, yang akan mewakili negara pada temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dalam acara ski air dan wakeboard berkata pengurusan masa sangat penting.

“Sekarang, saya menjalani latihan praktikal di DRB-Hicom dan pada sebelah pagi, saya akan berlatih. Memandangkan saya daripada keluarga yang mementingkan pendidikan, saya mesti membuktikan kepada mereka yang saya boleh melakukannya,” katanya kepada Bernama.

Haziq yang bakal menamatkan pengajian dari University of Applied Sciences, Hof, Jerman dalam bidang kejuruteraan mekanikal, berkata keluarga beliau memberi sokongan penuh kepadanya untuk melakukan yang terbaik mengikut keupayaannya.

“Mereka sentiasa mahukan yang terbaik untuk saya, dan adik-beradik saya sentiasa berada di sisi saya, mendorong saya menjadi yang terbaik,” katanya.

Memandangkan jadualnya semakin ketat menjelang perlawanannya, Haziq berkata yang paling beliau rasai, terlepas peluang untuk menonton drama Korea bersama-sama keluarganya.

“Semasa makan malam atau apabila berkumpul bersama-sama, saya rasa kecewa apabila tidak dapat menonton siri drama itu bersama mereka, menyebabkan saya ‘ketinggalan' untuk mengetahui perkembangan siri itu,” katanya sambil ketawa.

Harapannya dalam acara itu, anak lelaki tunggal dalam empat beradik itu berkata keluarganya akan  hadir menyaksikan beliau bertanding jika masa mengizinkan, memandangkan mereka semua bekerja.

“Kakak sulung saya seorang doktor manakala bapa saya penjawat awam. Kami amat rapat  dan saya tahu mereka sentiasa berada di belakang saya,” katanya.

Ketua jurulatih, Hanifah Yoong berkata buat masa ini semua atlet  telah siap siaga untuk hadapi dwitahunan itu dan sekarang memberi tumpuan menguatkan mental mereka.

“Selaku tuan rumah, kami meletakkan sasaran yang tinggi bagi skuad ini memenuhi impian itu dan pasukan ini akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Pasukan ski air dan wakeboard negara akan menampilkan atlet termuda, Adam Yoong, 9, dalam kontinjen Malaysia dan menyasarkan untuk meraih empat pingat emas yang akan diadakan di Kompleks Sukan Air Putrajaya bermula 25 hingga 29 Ogos.-- Bernama

Haziq Zohari, KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain