KUALA LUMPUR: Permulaan gugup skuad hoki dalam dewan negara akhirnya membuahkan hasil 'lumayan' pada aksi pembukaan acara itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Isnin. Skuad bimbingan Mohd Amin Rahim itu membelasah pasukan Filipina 16-0 dengan mendominasi permainan sebaik wisel perlawanan dibunyikan. Gol pertama disumbangkan seawal minit kedua menerusi kapten pasukan Najib Hassan diikuti Arshan Hamsani, Hanip Che Halim, Shafiq Yaacob, Muhammad Syafiq Syed, Irwan Nazli, dan Norsyafiq Sumantri untuk tujuh gol pada babak pertama perlawanan. Menurut Mohd Amin, secara keseluruhannya dia berpuas hati dengan kemenangan pertama ini. "Memang kami menyasarkan untuk menang pada perlawanan pertama, supaya ia menjadi pemangkin semangat pada perlawanan seterusnya. "Walaupun pemain bermula agak gugup dengan suasana sorakan penyokong, mereka dapat atasinya dengan baik. "Cuma saya berharap mereka akan belajar untuk lebih tenang pada aksi seterusnya. Dan tidak akan ada masalah jika semuanya ikut perancangan," jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan itu. Pada aski babak kedua pula, Malaysia terus mengasak dan terus menambah jaringan sebanyak sembilan gol. Pemain muda negara, Safiq melakukan hatrik dengan jaringan ke-10 dan 14 negara. Jelas Mohd Amin, skuadnya itu adalah pemain daripada program pembangunan hoki negara dan dengan pengalaman yanga ada, dia yakin sasaran emas dapat dicapai. "Pengalaman baharu bagi pemain dan juga saya beraksi dalam acara ini bagi temasya Sukan SEA (KL2017). Dengan tempoh latihan sebelum ini, mereka sudah boleh menyesuaikan diri bermain dalam dewan. "Mungkin ia sesuatu yang sukar kepada pemain yang berkemahiran tinggi di hoki padang, tetapi saya yakin mereka cepat belajar mengenai perturan baharu acara ini. "Dalam masa sama saya yakin mereka boleh pergi lebih jauh kerana rata-rata berusia awal 20-an, dengan tenaga yang ada, kita boleh kerah mereka untuk bekerja lebih keras," tambah jurulatih berusia 37 tahun itu. Dalam pada itu, Mohd Amin mengakui pasukan Indonesia dan Thailand adalah pencabar sengit. "Saya memang tidak tahu corak permainan mereka. Dalam tempoh yang ada ini, saya akan melihat perlawanan dua pasukan ini," tambahnya. Skuad Malaysia yang dibarisi 12 pemain bakal bertemu Thailand pada Selasa (22 Ogos), manakala Indonesia pula pada Rabu ini. Untuk rekod, acara hoki dalam dewan pertama kali diadakan untuk temasya Sukan SEA. Enam pasukan beraksi bagi acara ini termasuk Vietnam, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Malaysia. Perlawanan berlangsung secara round robin.