suria

"Tanpa Semangat Kenegaraan Jangan Sarung Baju Bendera Malaysia"

Bekas pemain hoki negara, Datuk Minarwan Nawawi (kiri) sebaik menyerahkan obor kepada Zaki (depan) yang diiringi pemegang rekod kebangsaan dalam acara pecut 100m dan 200m Khairul Hafiz Jantan dan atlet lompat kijang ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia, R Kirthana pada upacara perasmian Sukan SEA 2017, Sabtu.

PERASAAN sama, suasana berbeza, luah 'Kanggaru Emas' negara.

Bekas atlet lompat kijang dan lompat jauh negara, Zaki Sadri mengakui perasaannya begitu terharu dan teruja apabila dipilih menjadi salah seorang pembawa obor Sukan SEA (KL2017) bersama legenda sukan tanah air yang lain pada pembukaan temasya itu Sabtu lalu.

"Perasaan seperti ketika bergelar atlet dulu. Cuma sekarang suasananya berbeza. Sukar untuk digambarkan, lebih-lebih peluang seperti ini bukan selalu datang. Hanya selepas 16 tahun ia kembali ke Kuala Lumpur selepas 2001.

"Lebih berbeza kerana bukan hanya seorang atau dua pembawa obor seperti sebelum ini, sebaliknya ramai melibatkan atlet sekarang serta atlet masa depan.

"Paling penting dengan adanya kami (bekas atlet) pada upacara besar sukan negara ini, ia mampu mengembalikan zaman kegemilangan masing-masing untuk dikongsi bersama atlet baharu," ujarnya kepada mStar Online.

Siapa yang tidak kenal Zaki Sadri? Pemegang pingat emas lapan kali sepanjang menyertai temasya Sukan SEA pada tahun 1990-an. Pada usia awal 20-an dia berjaya meraih pingat emas pertama 1983 di Singapura.

Jelas Zaki, atlet sekarang amat berbeza ketika eranya biarpun kemudahan jauh lebih baik daripada dulu.

"Dari segi acara tidak ada yang berubah. Persoalan saya kenapa sebahagian mereka tidak mampu melakukan yang lebih baik daripada zaman saya dulu.

"Mereka mengambil masa yang agak lama untuk mencipta rekod baharu. Rekod saya (16.29m) sendiri mengambil masa 25 tahun untuk diperbaharui.

"Mohammad Hakimi (16.76m) melakukannya pada Sukan SEA 2015 di Singapura. Bagaimana pun saya memujinya kerana mempunyai keinginan untuk melakukan yang lebih baik.

"Saya berharap atlet negara menanam lebih dalam samangat patriotik dalam diri masing-masing.

"Faktor luaran seperi latihan, kemudahan, pertandingan semuanya sudah bagus. Cuma sikap dalam diri perlu diubah. Semangat kenegaraan itu paling penting.

"Bagi saya kalau tidak ada semangat itu, mereka tidak perlu menyarung baju bendera Malaysia. Tetapi kalau tidak berjaya walaupun telah berusaha, itu lain cerita," jelasnya.

Dalam pada itu, Zaki yang kini bertugas sebagai pengarah teknikal bagi Sukma Terengganu 2018 memberitahu, dia yakin dengan atlet-atlet lompat kijang dan lompat jauh yang ada sekarang.

"Abdul Latif Romly, atlet paralimpik yang beraksi buat kali pertama dalam temasya Sukan SEA ini bakal mencipta sejarah jika dia berjaya meraih pingat emas.

"Berdasarkan prestasi semasanya, saya menaruh harapan kepadanya serta Hakimi dan beberapa lagi atlet lain. Malah saya mencabar semua atlet olahraga supaya berjaya memecah rekod 16 emas pingat yang dicatat pada edisi 1997," ujar bekas atlet kelahiran Parit Buntar, Perak ini.

Zaki Sadri, KL2017

Artikel Sebelum

Ibrahimovic Sudah Sembuh

Artikel Berikut

Memanah Sumbang Dua Emas

Artikel Lain