KUALA LUMPUR: Seramai 16 atlet kontinjen negara yang bersaing pada temasya Sukan SEA dilaporkan mengalami keracunan makanan sejak Rabu. Menurut Setiausaha Jawatankuasa Teknikal Masoc, Datuk Low Beng Choo, salah seorang daripada mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lebih lanjut. "Kesemua atlet berada di hotel penginapan kontinjen yang keseluruhannya menempatkan lebih 800 orang. Daripada jumlah itu, hanya 16 atlet yang keracunan makanan. Setakat ini, punca kejadian itu masih disiasat. "Kami masih menunggu laporan rasmi. Sehingga kini, keadaan seorang atlet yang di hantar ke hospital itu tidak serius, cuma untuk rawaan lebih lanjut dan dia sudah pun keluar hospital hari ini (Khamis). "Apa yang boleh dikatakan sekarang, salah seorang atlet yang terlibat adalah dari pasukan renang dan semalam (Rabu) dia tidak dapat beraksi," jelasnya selepas sidang media preview Sukan SEA (KL2017) bersama Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, Khamis. Bagaiamanapun Beng Choo enggan mendedahkan nama atlet terbabit sehingga laporan rasmi punca keracunan dikeluarkan. Antara pihak yang terlibat dalam kes siasatan ini termasuk Masoc, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Kementerian Kesihatan. Dalam pada itu, Tunku Imran memberitahu beberapa masalah yang timbul sepanjang enam hari selepas KL2017 berlangsung telah dapat diatasi sebaiknya. "Antaranya kemalangan bas yang membawa atlet turut diambil perhatian. Kami cuba yang terbaik dan sebagai manusia akan ada kesilapan yang berlaku," katanya. Mengenai tahap keselamatan menjelang perlawanan separuh akhir bola sepak, Beng Choo memberitahu pihak Masoc akan mengadakan mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi meningkatkan lagi aspek berkenaan di stadium. Bola sepak antara acara yang menjadi tumpuan kesemua negara, lebih-lebih lagi Malaysia adalah antara empat pasukan yang berjaya layak ke separuh akhir.