PETALING JAYA: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencabar skuad polo Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang diterajui Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk bertanding menentang pasukan Johor dalam acara kuda lasak itu. Dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis, Sultan Johor itu menjemput Khairy supaya menerima cabaran tersebut dan tidak menghampakan kehendak rakyat untuk melihat skuad polonya menewaskan pasukan Johor. "Saya cabar pasukan polo Sukan Sea supaya datang ke Johor dan tunjukkan taring mereka yang saya dengar handal sangat. Hari ini lawan Singapura. Bila pasukan sudah menang baru masuk bermain dan suruh budak yang sedang 'perform' berpura-pura mengalami kecederaan. "Jadi ada gambar beliau dapat masuk dalam pasukan untuk dipaparkan dalam media cetak dan melakukan propaganda menipu orang ramai seolah-olah dia yang menang dan handal. Kalau jantan, mari kita main dan tunjukkan taring masing-masing di Johor," titah baginda. Menurut Sultan Ibrahim, dalam cabaran itu nanti baginda sendiri mungkin akan beraksi di samping dua anakandanya. "Saya akan hantar dua anakanda saya dan dua orang penjaga kuda ataupun saya sekali kerana saya melihat diri saya masih handal lagi. Kalau pasukan saya kalah, saya akan akui bahawa pasukan Sukan SEA itu lagi baik dan semuanya handal-handal belaka. "Sukan Polo di Johor sudah bermula sejak tahun 1884, bukannya semalam baru beranak. Semasa saya menjadi Tunku Mahkota, saya sudah bermain di serata dunia termasuk Piala Dunia untuk sukan tersebut," katanya. Jelas baginda, kejohanan Piala Dunia lebih mencabar jika dibandingkan dengan temasya dwitahunan itu. "Pasukan yang bertanding untuk sukan polo pada Sukan SEA 2017 ini ibarat hanya untuk cukupkan syarat pertandingan sahaja. Ada yang datang dengan handicap rendah, jadi memanglah mudah untuk dikalahkan. "Kalau hendak dibandingkan dengan Sukan SEA, ia bukan tandingannya. Jikalau anda mahukan perlawanan yang lebih serius, datang ke negeri Johor," katanya. Pada masa sama, baginda turut menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk hadir sama menyaksikan perlawanan tersebut nanti."Saya mempersilakan kepada semua rakyat Malaysia untuk turut sama hadir menyaksikan serta menikmati perlawanan antara pasukan Sukan Sea dan pasukan Johor," titahnya. Pada aksi pagi Khamis, skuad polo negara terus mempamerkan aksi cemerlang selepas menundukkan Singapura 13-2 di Taman Ekuestrian Putrajaya. Ia adalah kejayaan kedua selepas menumpaskan pasukan Brunei dalam saingan yang pertama dengan kemenangan 12-4.