KETUA jurulatih skuad Sukan SEA Vietnam melepaskan jawatannya selepas pasukan itu tewas 0-3 kepada Thailand pada petang Khamis. Nguyen Huu Thang berkata, tindakan drastik itu dibuat selepas merasakan dirinya gagal membawa pasukan berkenaan layak ke separuh akhir Sukan SEA. Menurutnya, barisan pemain Vietnam gagal beraksi seperti dirancang dan dua kesilapan mengakibatkan mereka tersingkir daripada perebutan pingat. Jelasnya, tindakan itu juga dibuat untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak dan bertanggungjawab penuh di atas kekalahan berkenaan. "Pemain kami gagal berfungsi seperti yang dirancang dan apa yang saya khuatir akhirnya telah menjadi kenyataan iaitu kekalahan awal dari segi psikologi. "Pemain terlalu menghormati lawan sehingga mereka melakukan kesilapan yang telah membawa padah, tidak cukup dengan itu sepakan penalti yang gagal disempurnakan juga telah mematikan moral pemain. "Selepas ini saya menyerahkan keputusan tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Vietnam untuk menentukan individu yang bakal melatih pasukan ini," katanya kepada pemberita. Sementara itu Ketua Jurulatih Thailand, Worrawut Srimaka berkata, skuadnya tidak patut bertemu Vietnam seawal peringkat kumpulan kerana mereka lawan yang baik. "Hari ini adalah hari kami dan apa sahaja yang dilakukan oleh pemain Thailand agak menjadi. "Kita juga memastikan mereka tertekan dan menggunakan peluang itu untuk menewaskan lawan," jelasnya.