SHAH ALAM: Skuad futsal wanita negara gagal pertahan pingat gangsa yang dimenangi di Laos pada 2013 apabila dibelasah Thailand 0-12 pada Ahad dalam perlawanan terakhir mereka pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Skuad bimbingan Muizzudin Mohd Haris yang sebelum ini menewaskan Myanmar 2-1, kalah kepada Indonesia 1-2 dan seri 1-1 dengan penyandang pingat perak, Vietnam untuk berada di kedudukan keempat dalam perlawanan secara liga sepusingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, di sini. Thailand, yang merupakan juara pada edisi ke-24, ke-26 dan ke-27 membuktikan kehebatan dengan mempertahankan pingat emas. Skuad gajah putih itu mengumpul 10 mata dengan turut menang ke atas Vietnam (3-1) dan Myanmar (10-2) manakala seri dengan Indonesia (2-2). Acara futsal wanita tidak dipertandingkan pada edisi ke-28 di Singapura dua tahun lepas. Skuad Vietnam juga mengekalkan pingat perak yang dimenangi pada tiga edisi sama manakala Indonesia, yang tidak menyertai sukan itu pada edisi ke-27, meraih pingat gangsa. Sementara itu ketua jurulatih Thailand, Udom Taveesuk gembira skuad kendaliannya berjaya mempertahankan pingat emas. Beliau turut berbangga dengan semangat juang pemain-pemainnya dan berkata pasukannya akan berlatih lebih intensif untuk menjadi yang terbaik di peringkat Asia. Sementara itu, pemberita gagal mendapatkan komen ketua jurulatih Malaysia. - BERNAMA