suria

“Status OKU Bukan Perkara Besar”

Muhammad Khairul Azman

INSIDEN kemalangan yang menyebabkan Muhammad Khairul Azman kehilangan sebelah kaki ketika berusia 19 tahun telah mengubah kehidupannya.

Atlet paralimpik bola keranjang negara ini mengakui hidupnya berubah sekelip mata selepas peristiwa hitam tahun 2004 itu, sekali gus menukar status insan normal dirinya kepada status Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mungkin bagi orang lain, ia dilihat sebagai satu perkara buruk atau satu mimpi ngeri, namun tidak bagi Khairul.

"Selepas tamat sekolah menengah (SM Sultan Abdullah, Perak) saya terbabit kemalangan jalan raya yang menyebabkan saya hilang kaki kiri sekali gus hidup saya mengalami perubahan besar.

"Tetapi sebenarnya, ada hikmah di sebalik kejadian malang itu. Memegang status sebagai OKU bukan perkara besar buat saya untuk meneruskan hidup memandangkan saya memang dari keluarga susah, hidup 'kais pagi, makan pagi'.

"Saya bersyukur hanya hilang sebelah kaki sahaja dan masih ada anggota badan yang sempurna. Selepas itu, kakak terus mendaftarkan saya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menghantar saya ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Orang Kurang Upaya (PLPP) di Bangi," jelasnya ketika ditemui mStar Online.

Menurut Khairul sebaik sahaja menjadi pelatih di PLPP,  hidupnya berubah menjadi lebih baik dengan menyertai bidang sukan yang disediakan.

"Di situ hanya ada dua jenis sukan berkumpulan iaitu bola tampar dan bola keranjang kerusi roda. Saya pilih bola keranjang kerana perwatakan saya kasar sedikit walaupun ketika zaman sekolah tak pernah terlibat dengan acara ini.

"Dan bermulalah fasa baharu dalam hidup saya bergelar atlet. Tidak dinafikan pada awal kejadian ada sedikit perasaan rendah diri dan malu untuk bertemu orang normal yang lain, tetapi semuanya berubah selepas itu.

"Diri saya lebih yakin dan berani untuk berdepan dengan orang ramai kerana apabila saya masuk ke situ (PLPP) saya menyedari bahawa ada orang lain yang lebih teruk daripada saya.

"Saya mengambil iktibar dan menjadikan minat saya untuk bermain bersungguh-sungguh sehingga mewakili negara. Sejak itu, hidup saya jauh lebih baik berbanding sebelum ini," ujarnya atlet berusia 32 tahun ini.

Jelas Khairul, dia mula mewakili negara pada tahun 2007 dan beraksi pada Sukan Para Asean 2008 di Thailand.

"Sejak itu pasukan Malaysia meraih pingat perak dan belum berjaya mencapai impian merangkul pingat emas. Thailand mendominasi acara ini dan merupakan juara bertahan sebanyak lima kali.

"Namun sebagai tuan rumah tahun ini, kami akan cuba merealisasikan impian untuk mendapat emas di Kuala Lumpur. Walaupun sedar ia akan sengit, saya yakin semuanya sudah melakukan persediaan terbaik.

"Malah saya tidak nafikan, dengan kehadiran jurulatih luar negara (Iran), Abbas Aghakouchaki telah banyak membantu meningkatkan kemahiran dan strategi pasukan.

"Sejak dua tahun lalu, kami menjalani latihan perlawanan liga serta aksi di luar negara. Sokongan Majlis Sukan Negara, persatuan juga telah mengubah momentum kami semua," ujarnya yang beraksi dalam acara lima sebelah.

Dalam pasa itu, Khairul menyeru kepada keluarga yang mempunyai anak OKU supaya tidak malu untuk melibatkan anak mereka dengan sukan.

"Bagi saya bidang sukan banyak membantu seseorang itu menjadi manusia yang lebih baik. Tidak perlu rasa malu dengan kekurangan diri, sebaliknya tanamkan semangat untuk menjadi yang terbaik bagi diri sendiri.

"Sukar saya hendak jelaskan, hakikatnya sukan ini telah mengubah saya menjadi manusia yang berdisiplin dan yakin pada diri sendiri.

"Malah saya bertekad akan meneruskan minat dengan menjadi seorang jurulatih selepas bersara sebagai pemain nanti. Saya akan curahkan ilmu yang saya pelajari kepada pemain-pemain muda kelak," tambah anak ketiga daripada lapan orang adik beradik ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain