CHALET Latip D’Ayer Itam di Kampung Air Itam, Batu Kurau, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Taiping. Perjalanan sejauh 110 kilometer menaiki kereta dari Ipoh ke Batu Kurau, melalui Lebuhraya Utara Selatan hingga ke jalan kampung yang dikelilingi kebun durian, nyata tertarik dengan konsep seni bina Keukenhof dari Belanda pada setiap chalet yang diusahakan Abdul Muzhafar Abdul Manab, 25 tahun. Konsep bilik segi tiga berwarna-warni itu dicetuskan oleh Abdul Muzhafar yang mengambil alih pengurusan chalet daripada ayahnya, Datuk Abdul Manab Abdullah, 64, pada 2018, di sekitar kawasan seluas 3.24 hektar dikelilingi pemandangan indah pokok yang menghijau selain mempunyai jambatan gantung untuk merentasi Sungai Lata Air Hitam, yang mengalir di bawahnya.ARTIKEL BERKAITAN: Gunung Kinabalu bagai melambai-lambai... Jom ambil tahu SOP norma baharu sebelum mendaki!"Bila saya habis belajar pada 2018, saya memikirkan untuk membuat pengubahsuaian agar lebih menarik dan segar. Saya teringat konsep di Keukenhof yang mana bumbungnya berbentuk segi tiga untuk mudahkan salji jatuh dan saya fikir ia juga sesuai di sini untuk elak air hujan bertakung," katanya kepada Bernama. Beliau, yang juga seorang graduan undang-undang dari Universiti Oxford, United Kingdom, sebenarnya boleh saja membina kerjaya sebagai pengamal undang-undang, satu kerjaya profesional. Pengusaha Chalet Latip D’Ayer Itam, Abdul Muzhafar Abdul Manab (kiri) dan abangnya Abdul Muhaimin Abdul Manab. Foto Bernama Namun anak bongsu daripada tiga beradik itu nekad menukar haluan menjadi pengusaha pusat pelancongan bukan sahaja kerana ingin membantu ayahnya, tetapi didorong minat yang mendalam. Tidak menyesal dengan haluan yang dipilih, Abdul Muzhafar berkata, chalet, yang kini mempunyai 32 bilik itu, mula dibangunkan oleh ayahnya atau lebih dikenali sebagai Latip dalam kalangan penduduk setempat pada akhir 2018. Dia yang dibantu abangnya, Abdul Muhaimin, 27, berkata, mereka tidak menyangka selepas mengubah suai bilik daripada bentuk biasa kepada konsep Keukenhof, ia menjadi tular dan mendapat permintaan ramai sehingga talian telefon rasmi untuk tempahan terpaksa ditambah daripada satu kepada lima. Ruangan yang kemas dan menenangkan pengunjung. Foto: Bernama Keputusan kerajaan membenarkan sektor pelancongan domestik beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menjadi 'penawar' kepada rakyat tempatan yang ingin merawat jiwa selepas hampir empat bulan duduk 'terperuk' di rumah akibat penularan Covid-19.Abdul Muzhafar pula menjelaskan, sejak PKPP diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, chalet itu menerima sambutan luar biasa dari dalam dan luar negara termasuk pelancong dari Belanda sendiri. "Sejak pengumuman Perdana Menteri, chalet kami tidak putus-putus menerima panggilan daripada mereka yang ingin bercuti di chalet kami. Alhamdulillah ada yang datang dari Johor, Terengganu dan Pulau Pinang," katanya. Tawar diskaunBeliau berkata, dia dan abangnya, menawarkan diskaun antara lima hingga 10 peratus manakala diskaun sehingga 25 peratus kepada petugas barisan hadapan bermula pada harga serendah RM150 bergantung kepada saiz bilik yang mampu memuatkan dua hingga maksimum 10 orang. "Bagaimanapun, mereka yang ingin bercuti di sini perlu hubungi kami terlebih dahulu kerana kebanyakan bilik sudah penuh pada tarikh-tarikh tertentu dan kami tidak mahu ada pengunjung yang datang dari jauh tetapi terpaksa balik dan hampa," katanya. Chalet Latip D'Ayer ini turut menawarkan diskaun kepada pengunjung. Foto Bernama. Dalam pada itu, Abdul Muzhafar berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan bantuan program Subsidi Upah dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dinikmati lapan pekerja tetapnya dengan masing-masing menerima RM1,200 selepas terkesan akibat penularan wabak Covid-19. Sebagai nilai tambah, pembinaan kolam renang, dewan, surau dan latihan tali tinggi seperti ‘flying fox’ sedang dibangunkan dan dijangka siap sepenuhnya September ini. "Pada awalnya, kesemua pembinaan itu, sepatutnya siap pada April lepas namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lepas, segala kerja pembinaan yang dijalankan awal tahun ini, terpaksa dihentikan," katanya. Perancangan chalet ala-ala JepunDalam pada itu, beliau dan abangnya juga bercadang membuat chalet ala-ala Jepun yang lebih praktikal untuk pelancong ‘backpacker' serta pasangan yang datang untuk berbulan madu. “Kita sedang merangka kerana kita mahu pelbagaikan pilihan bilik kepada pengunjung. Kita jangka untuk membina chalet ala-ala Jepun itu awal tahun hadapan,” katanya. Mengakui aktiviti agro pelancongan semakin mendapat tempat di hati pelancong tempatan dan luar negara, Abdul Muzhafar berkata beliau telah menghantar kertas kerja kepada Jabatan Pertanian untuk mendapatkan geran pada akhir tahun lepas sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di Perak khususnya di Batu Kurau. Pengunjung menikmati suasana yang tenang dan selesa. Foto: Bernama Batu Kurau memang terkenal dengan hasil durian dan tidak asing kepada peminat raja buah itu setiap kali tiba musimnya. Malah baru-baru ini, kerajaan negeri Perak bercadang untuk menjadikan daerah Larut Matang dan Selama sebagai hub pengeluaran pelbagai durian dengan membina Taman Durian Batu Kurau. Bagi Abdul Muzhafar, pembinaan chalet di Batu Kurau yang terletak di Selama itu, ibarat 'sambil menyelam minum air' kerana pengunjung tidak perlu lagi mencari tempat penginapan lain sehingga ke bandar Taiping, yang mengambil masa 45 minit, selepas menikmati raja buah itu. "Pembinaan chalet yang sebelum ini diusahakan ayah memang khusus untuk orang ramai menginap selepas menikmati durian Batu Kurau. Pengunjung yang datang juga boleh bermandi-manda di sungai Lata Air Itam. "Kami tidak menyangka mendapat respons yang baik daripada pengunjung yang tiba malah pembukaan chalet ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk bekerja di sini," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!