KEMERIAHAN Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) semakin dirasai menjelang penganjurannya pada 23 hingga 27 Mei ini. Bagi menyemarakkan lagi acara berkenaan, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) turut menganjurkan pertandingan 24 Hours Challenge LIMA'23 pada 6 Mei lalu. Menerusi pertandingan itu, peserta dalam kalangan pengamal media dan influencer diberi tugasan untuk melakukan perjalanan dari destinasi masing-masing dengan menaiki pengangkutan awam dan harus tiba di Langkawi dalam masa 24 jam. Peserta cabaran ini perlu tiba ke Langkawi dalam masa 24 jam dengan menaiki pengangkutan awam. mStar turut tidak ketinggalan menyahut cabaran berkenaan. Perjalanan pada Sabtu dimulakan pada pukul 12 tengah hari dengan menaiki tren KLIA Ekspres dari stesen KL Sentral menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Penulis hanya membayar harga tiket RM5.90 melalui aplikasi KLIA Ekspres. Sebaik sahaja tiba di TBS, penulis membeli tiket bas ke Butterworth dengan harga RM30. Banyak lokasi menarik dapat disaksikan sepanjang perjalanan menuju ke Langkawi. Sepanjang perjalanan, penumpang bas disajikan dengan panorama hijau di sekitar Lebuh Raya Utara Selatan. Selepas lima jam menaiki bas, penulis tiba di Penang Sentral, Butterworth yang menghubungkan antara stesen bas dengan terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim. Apa yang menariknya, buat masa ini tiket feri dari Pangkalan Sultan Abdul Halim ke Georgetown adalah percuma sehingga bulan Jun. LIMA'23 bakal berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023. Perjalanan menggunakan feri hanya mengambil masa 15 minit. Setibanya di Geogetown, penulis menggunakan khidmat e-hailing untuk menuju ke restoran nasi kandar dengan bayaran RM9. Setelah penat menempuhi perjalanan 12 jam pertama, penulis singgah ke hotel untuk berehat sementara menunggu perjalanan seterusnya. Sebahagian peserta yang terlibat dalam acara itu. Pada Ahad, cabaran 24 Hours Challenge LIMA'23 diteruskan dengan menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Langkawi. Walaupun penerbangan seawal 7 pagi tetapi ia sangat berbaloi kerana harga tiket yang murah iaitu hanya RM34. Penulis tiba di Langkawi pada pukul 8 pagi, berbaki empat jam untuk ke garisan penamat dan sempat singgah ke gerai untuk sarapan pagi dan berjalan-jalan sekitar bandar Kuah. Perjalanan dengan pengangkutan awam memberi pengalaman berbeza buat peserta. Meskipun menempuh perjalanan yang rumit, namun ia cukup berbaloi dengan kos keseluruhan serendah RM78.90 sahaja dengan menaiki pelbagai mod pengangkutan awam. Sekiranya penulis berjaya tiba ke Langkawi dalam masa 24 jam dengan pengangkutan awam, tidak mustahil anda juga boleh melalui perjalanan yang sama untuk ke LIMA'23 pada 23 hingga 27 Mei ini. Apa tunggu lagi? Rancang perjalanan anda ke LIMA'23 sekarang! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube