BELI-belah? Hmmm...tak minat. Selain makanan lazat dan pemandangan indah di sekitar bandar, apa lagi yang ditawarkan di Hong Kong? Pelbagai aktiviti sebenarnya dapat dilakukan di Hong Kong! Termasuklah untuk seseorang yang sukakan aktiviti lasak atau peminat tegar sukan ekstrem. Tidak kira sama ada anda sudah berpengalaman atau sekadar ingin mencuba, anda akan mendapati Hong Kong ialah dunia cabaran! Anda boleh pergi ke Sai Kung, tempat paling mencabar untuk mengembara di pulau-pulau, dan melakukan aktiviti mendaki dan berkayak. Hong Kong juga terkenal dalam kalangan atlet-atlet luar negara dan peminat sukan ekstrem. Jika anda ingin menyertai acara antarabangsa, atau hanya ingin menambah hobi baru, Hong Kong pasti akan memuaskan hati anda. Hong Kong telah memperkenalkan acara sukan barat yang terkenal berikutan pengaruh budaya penjajah pada awal abad ke-20. 'Hong Kong Rugby Sevens' adalah acara yang dijalankan pada hujung minggu dan merupakan salah satu acara paling terkenal di dunia. Anda juga akan mendapati banyak acara dunia yang diadakan di Hong Kong. Antaranya ialah lumba kuda, badminton, golf, bola tampar dan skuasy. Namun, Hong Kong tidak melupakan acara berciri Asia seperti Lumba Perahu Naga Antarabangsa, yang dihadiri lebih dari 5,000 atlet dalam dan luar negara. Satu acara yang tidak boleh dilepaskan! Selain itu, Hong Kong yang mempunyai kepulauan di Laut China Selatan, menawarkan anda sukan air seperti luncur ombak, luncur angin, luncur air dan sebagainya. Sukan luncur angin di situ telah meraih perhatian antarabangsa apabila satu-satunya pingat emas dimenangi oleh penduduk tempatan, Lee Lai-shan di Sukan Olimpik Atlanta 1996. Salah sebuah tempat yang terkenal dengan luncur angin adalah Pantai Utama Stanley. Pelatih berpengalaman menawarkan latihan peringkat permulaan atau pertengahan untuk individu atau kumpulan, atau anda boleh menyewa peralatan meluncur. Anda juga boleh mencuba versi lain luncur angin, iaitu 'kiteboarding'- sukan air paling ekstrem di dunia. Perbezaan antara 'kiteboarding' dan 'wakeboarding' adalah anda hanya memerlukan layang-layang, papan peluncur dan angin! Teluk Shui Hau Wan yang luas di Pulau Lantau, telah menjadi tempat terkenal dengan sukan itu. Sukan yang boleh dinikmati bersama seisi keluarga dan memberi pengalaman yang menarik untuk aktiviti luaran adalah berbasikal. Pergilah ke Sha Tin di New Territories, dan anda akan menjumpai laluan berbasikal, dikelilingi suasana yang cantik. Anda boleh menyewa basikal dari Kios Basikal Taman Sha Tin. Laluan anda bermula dari Sungai Shing Mun, mengikut laluan air menuju ke Pelabuhan Tolo dan ke Dermaga Tai Po. Jarak laluan adalah 16 kilometer. Pantai di bahagian utara Pelabuhan Tolo juga merupakan lokasi yang sesuai untuk berkayak kerana dilindungi ombak kuat dan dikelilingi oleh puncak kehijauan yang menarik. Berkayak adalah aktiviti yang sangat terkenal di pantai Hong Kong dan menyewa peralatan di kebanyakan pantai adalah mudah. Pusat Sukan Air Tai Mei Tuk di Tai Po menawarkan kursus latihan satu hari untuk mendedahkan anda pada lautan, iaitu selepas anda menempah salah satu lawatan kayak yang membawa anda keluar ke kawasan pulau terpencil dan pinggiran laut.