suria

Seronoknya 'Berkenalan' Dengan Penguin, Singa Laut Di Ocean Park HK

-foto Ocean Park Hong Kong

PENCINTA haiwan pasti teruja jika dibawa melawat ke taman tema hiburan laut Ocean Park Hong Kong!

Mana tidaknya, selain banyak permainan ektrim dan mencabar adrenalin, di sini juga terdapat banyak haiwan yang tiada di Malaysia seperti penguin, singa laut, ikan lumba-lumba dan panda gergasi di bahagian bertema Get Closer To The Animals.

Lebih menarik lagi jika ia dikunjungi pada musim panas, iaitu antara Jun dan Ogos setiap tahun.

Menariknya destinasi ini, ia tidak hanya membolehkan pengunjung melihat haiwan-haiwan comel ini pada jarak dekat semata-mata.

Sebaliknya, mereka boleh mendekati dan ‘berkenalan’ dengan dengan haiwan-haiwan ini dengan lebih mendalam, tanpa sebarang rasa takut, malah penuh kasih sayang.

Ketika pertemuan dengan penguin di Polar Adventure I Summit, anda berpeluang meneroka dunia dan habitat haiwan comel ini, termasuklah memberi makan serta melihat bagaimana mereka dijaga.

Memeluk ikan lumba-lumba yang bijak dan terlatih juga bukan mustahil di Ocean Park!

Anda boleh berkenalan dengan ikan lumba-lumba dengan cara turun ke dalam kolam dan memberinya makan di Marine World I Summit.

Ketika inilah anda akan dapat mengenal tentang biologi haiwan ini dan cara ia berkomunikasi dengan manusia, termasuklah diri anda sendiri!

Satu sahaja pesanan penting! Jangan pulang selagi tak bergambar dengan ikan lumba-lumba yang ada di sini.

Bermain dengan singa laut di Marine World I Summit juga sesuatu menyeronokkan.

Dengan bantuan pelatih, pengunjung boleh menyentuh anjing laut dan singa laut, memberi makanan, malah memeluknya. Sekali lagi, gambar jangan lupa dirakam!

Oh ya! Banyak juga yang boleh dilakukan apabila bertemu dengan panda gergasi.

Anda boleh merasai pengalaman menjadi penjaga panda. Hanya sarung pakaian khas dan anda kini bersedia untuk membuat kek panda dan menyediakan buluh untuk dimakan haiwan comel ini.

Istimewa musim panas ini juga, Ocean Park Hong Kong telah membuka peluang kepada pengunjungnya untuk melakukan aktiviti snorkeling di Grand Aquarium.

Selain dapat menikmati keindahan dan keunikan batu karang yang dipelihara, banyak perkara lain yang dapat diterokai mereka di dunia hidupan marin ini.

Grand Aquarium juga dibuka pada waktu malam bagi membolehkan anda menikmati dan melihat sendiri keindahan hidupan laut yang tidak pernah anda bayangkan sebelum ini.

Tiket untuk masuk ke Ocean Park dijual pada harga RM239.81 (dewasa) dan RM 119.91 (kanak-kanak) boleh dibeli secara dalam talian, di semua outlet 7-Eleven Hong Kong dan di pintu masuk.

Tiket dengan harga diskaun juga banyak ditawarkan dalam talian.

Bagi pelancong Muslim, tak perlu risau tentang makanan.

Terdapat dua restoran menjual makanan halal di sini iaitu Panda Café Food To Go (Amazing Asian Animals) dan Dive Into A Float (Marine World).


Artikel Lain