suria

Menu ‘Meleleh’ Taruhan Planet & Co

Planet & Co menawarkan seleksi makanan barat dan padanan perisa minuman yang menyegarkan pada harga yang berpatutan.

KALAU berlibur ke Pahang, pasti terbayang-bayang kelazatan hidangan signature negeri kelahiran penghibur nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Apa lagi kalau bukan ikan patin masak tempoyak?

Haa...jangan ingat orang Pahang hanya tahu makan lauk ikan patin sahaja. Sebenarnya banyak tempat makan yang menyelerakan terdapat di negeri Tok Gajah ini.

Baru-baru ini, Dhia Datang berkesempatan mencuba menu makanan barat yang tengah hangat diperkatakan orang Kuantan.

Belum pun setahun beroperasi, sudah berduyun orang berkunjung ke warung Planet & Co yang terletak cantik menghadap pemandangan Sungai Kuantan.

Kebetulan masa Cik Dhia sampai, nampak macam tak cukup tangan je pelayan warung ambil pesanan pengunjung.

Rupa-rupanya, ada set jimat pada setiap malam Isnin dan Khamis. Semua menu chicken chop dan minuman cuma RM9.90.

Planet & Co hanya dibuka pada waktu malam bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Tanpa melengahkan masa, Cik Dhia pun apa lagi? Terus buat pesanan bila perut dah mula berkeroncong.

Untuk permulaan, Cik Dhia cuba menu myPlanet chicken chop yang hanya bernilai RM6. Memang terkejut tengok pesanan yang sampai ke meja Cik Dhia. Meriahnya!

Sos lada hitam dan mayonis melimpahi dada ayam yang digoreng rangup serta dilengkapi dengan sajian sampingan, kentang goreng keemasan.

Sekali cuba, memang 'meleleh' dengan rasa sos oriental dan masam-masam manis. Nak kata pedas, tak sangat. Pendek kata ia menu yang sesuai untuk kanak-kanak.

Tengok tu... myPlanet Chicken Chop penuh pinggan.

Tidak keterlaluan kalau nak katakan yang Cik Dhia rasa 'tertipu' dengan menu di Planet & Co. Bukannya apa, sebab harga yang ditawarkan memang tak sepadan dengan rasa.

Tiba-tiba tekak rasa dahaga pula. Tergoda tengok air Vanilla Caramel Milkshake Madness yang dihiasi dengan bertih jagung, biskut Oreo dan marshmello.

Slurrppp....rasa vanilla memang 'kaw'. Harga pula cuma RM7.90.


Haaa... ini pula Magnum Sweet Love yang berharga RM10.90. Siap ada aiskrim sebagai 'topping'.

Sebelum Cik Dhia tambah pesanan seterusnya, terpanggil untuk cuba cungkil resipi rahsia daripada pemilik Planet & Co. Musykil juga bila tengok harga yang ditawarkan sangat berbaloi.

Kata Muhammad Nur Hafiz Iberahim, 31, dia memang gemar bereksperimentasi dengan setiap menu agar dapat berikan kelainan kepada pelanggan.

"Setiap bulan kami akan perkenalkan menu dan 'topping' baharu yang sesuai dengan trend terkini.

"Sebab itulah kami tawarkan harga yang murah supaya pelanggan boleh datang lebih kerap dan dapat cuba sendiri semua menu yang ada. Tidaklah mereka cepat bosan nanti," katanya yang sebelum ini pernah bergelar jurutera awam.

Sebelum ini Hafiz meniaga di pasar malam sekitar Kuantan sejak tahun 2012.

Antara menu lain yang cukup digemari pengunjung adalah Chicken Chop Buona Notte Italia yang dihidangkan bersama aiskrim vanilla.

Aiskrim vanilla digunakan bagi menggantikan krim untuk memberikan rasa lemak-lemak manis pada hidangan ini.

Menu 'Couple Platter' pula sesuai dimakan untuk dua orang kerana ada spagetti bolognese dan carbonara, kentang goreng, chicken chop, chicken grill, tortilla serta lima jenis sos pencicah mengikut citarasa masing-masing.

Harga standard bagi sepinggan chicken chop adalah antara RM6 hingga RM10, manakala lamb chop pula antara RM15 hingga RM19.

Memang berbaloi hidangan 'Couple Platter' ini yang ditawarkan pada harga RM35 sahaja.

Alamat:
Planet & Co,
No.12, Taman Esplanade Kuantan, 
Jalan Tanah Putih, 
25100 Kuantan, 
Pahang.

Waktu operasi:
Setiap hari dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam kecuali ditutup setiap Selasa.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain