suria

6 Lokasi Makanan Halal Di Singapura

-foto FB Singapore Zam Zam

APALAH ertinya sebuah percutian jika ia tidak disempurnakan dengan hidangan membangkit selera selepas anda penat berjalan.

Sama juga halnya jika anda ke Singapura! Jangan hanya tertumpu kepada lawatan atau keriangan semata-mata, sebaliknya jangan lepaskan peluang mencuba aneka makanan enak yang yang terdapat di negara ini.

Seperti yang diketahui ramai, Singapura mempunyai banyak restoran mewah untuk dikunjungi pelancong dari seluruh pelosok dunia, namun pelancong Muslim jangan bimbang kerana pulau ini turut menawarkan aneka makanan halal untuk menjadikan percutian anda lebih bermakna.

Deli Moroccan


Deli Moroccan menyajikan makanan khas Timur Tengah yang autentik dari Turki dan Morocco, dengan saiz hidangan yang besar. Harganya juga tidak terlalu mahal. Anda bebas memilih sama ada mahu makan di bahagian dalam atau bersantai di ruang terbuka di luar restoran. Di situ, anda dapat melihat suasana di Masjid Sultan ikonik serta kemeriahan Bussorah Street. Selesai makan, pastikan anda mencuba minuman epal istimewa, yang dicampur susu dan kayu manis atau nikmati saja teh epal tradisional yang menjadi kegemaran penduduk Morocco.

30 Bussorah Street, Singapura

Buka setiap hari 11.30 pagi - 11.30 malam

Restoran Zam Zam



Restoran Zam Zam menjadi lokasi makan klasik pelancong dan penduduk setempat. Dibuka pada 1908, Zam Zam  telah berusia lebih dari 100 tahun dan kekal sebagai lokasi pilihan ramai, tanpa mengira bangsa dan agama. Terletak di Kampong Glam makan malam di sini cukup meriah, tak ubah seperti suasana di restoran mamak di negara kita. Hidangan yang patut dicuba di sini adalah murtabak keju dan nasi beriani ayam yang dijual pada harga berpatutan.

Buka setiap hari 7 pagi - 11 malam

Fika Swedish Café and Bistro


-foto laman web Fika Cafe

‘Fika’ bermaksud menikmati kopi bersama rakan sekerja, sahabat atau ahli keluarga, satu amalan yang begitu penting dalam kehidupan penduduk Sweden. Aktiviti ini mampu menenangkan fikiran selepas masing-masing penat berjalan. Di sini, anda boleh mencuba pastri tradisional Sweden yang dihasilkan dengan bahan-bahan terbaik. Menariknya kafe ini tentunya hiasan dalamannya, berkonsep ala Skandinavia. Bagi yang gemarkan manisan, inilah tempat untuk anda kerana Fika amat terkenal dengan hidangan pencuci mulut dan kudapan manisnya, seperti kuih cokelat klasik dan penkek khas Sweden.

Fika Swedish Café & Bistro, 257 Beach Road, Singapura

Buka Isnin - Jumat 11 pagi - 11 malam, hujung minggu buka tengahari - 11 malam

I am Café


-foto FB I am cafe

Ketika pemilik I am Café yang bernama Muhammad Jamuri Busori melawat Amsterdam, dia telah jatuh cinta dengan budaya masyarakat Belanda. Inilah sebab utama dia mewujudkan sebuah kafe berkonsepkan Amsterdam/Belanda, bermula dengan gaya hidup mereka yang mengunakan basikal sehingga kecintaan penduduk Belanda terhadap makanan bergoreng. I am Café menyajikan rangkaian makanan halal inspirasi makanan khas Belanda. Hidangan khas mereka antara lain adalah ‘cheezy bombs’ (bebola daging dengan limpahan keju leleh, ikan dan kentang goreng yang begitu popular, serta pilihan burger enak yang dipanggang di atas arang.

#01-01 674 North Bridge Road Singapura

Buka Isnin - Khamis 11.30 pagi - 11 malam, Jumaat & Sabtu 11.30 pagi - 1 pagi, Ahad 11.30 pagi - 10 malam

Boon Lay Power Nasi Lemak


Nasi lemak pasti memuaskan hati anda lebih-lebih lagi jika dimakan ketika lapar. Untuk menikmati hidangan ini, berkunjunglah ke Boon Lay Power Nasi Lemak, yang terletak di hujung barat kota Singapura. Nasi lemak ini popular kerana keenakannya dan hidangan bersaiz besar, tidak hairanlah ia begitu digemari oleh warga setempat. Makanan yang disajikan di sini dimasak dengan bahan-bahan segar, misalnya kepak ayam pedas yang dimakan bersama nasi lemak panas.

#01-106 221B Boon Lay Pl Singapura

Buka setiap hari 06.30 pagi - 3.30 pagi

Tang Tea House


Untuk hidangan lazat masyarakat Cina, berkunjunglah ke Tang Tea House dan jangan lupa menikmati dim sum Halal. Tang Tea House juga menawarkan hidangan khas Singapura, seperti bihun goreng dan nasi ayam, serta hidangan pencuci mulut lokal seperti cheng tng serta ais kacang.

357 Bedok Road Singapura

Buka Sabtu - Rabu 11 pagi - 2 pagi, Khamis & Jumaat 11 pagi -  3 pagi

Untuk lebih banyak pilihan makanan dengan pengiktirafan sijil halal di Singapura, sila klik DI SINI.

makanan halal, bercuti Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain