suria

Belayar, Bersantai, Belajar Di River Cruise Melaka

Aktiviti pelayaran juga boleh dilakukan pada waktu malam. -fotoZurie Daliena/Nurazurah

MELAKA kini tidak hanya memfokuskan kepada tarikan sejarah semata-mata namun turut digandingkan dengan pelancongan alam sekitar khususnya di Sungai Melaka.

Suatu ketika dahulu, Sungai Melaka hanyalah sebatang sungai yang tercemar dan dipenuhi sisa kumbahan.

Kini, usaha gigih kerajaan negeri telah berjaya mengangkat Sungai Melaka sebagai elemen pelancongan kedua terpenting di Melaka selepas objek pelancongan sejarah.

Pengunjung dapat melihat pemandangan bangunan warisan sepanjang menaiki river cruise. -fotoZurie Daliena/Nurazurah

Jika anda berkunjung ke Melaka, anda pastinya akan terpegun dengan keindahan landskap, bangunan-bangunan warisan serta moden yang berdiri teguh di sepanjang sungai itu.

Perjalanan di sepanjang sungai juga membolehkan pengunjung melihat lukisan mural yang menghiasi segenap dinding bangunan.

Lukisan mural yang menghiasi dinding-dinding bangunan lama di sepanjang sungai. -fotoZurie Daliena/Nurazurah

Adalah tidak lengkap kunjungan anda ke Sungai Melaka sekiranya tidak menyelusuri sungai berkenaan dengan menaiki River Cruise Melaka.

Pelayaran sepanjang 45 minit itu pastinya menjanjikan sajian panorama yang indah dari sudut yang berbeza.

Aktiviti river cruise yang popular di Sungai Melaka. -fotoZurie Daliena/Nurazurah

Sambil dibuai angin sepoi-sepoi bahasa dan alunan muzik mengasyikkan, anda akan dibawa  melewati beberapa kawasan seperti Kampung Mortem, Panggung Bangsawan, Eye On Malacca, kincir air dan banyak lagi.

Sepanjang menaiki river cruise, anda juga akan melalui tujuh buah jambatan iaitu Jambatan Kampung Mortem, Jambatan Old Bus Station, Jambatan Hang Tuah, Jambatan Pasar, Jambatan Kampung Jawa, Jambatan Chan Koon Cheng dan Jambatan Tan Kim Seng.

Antara lokasi paling popular di sini ialah Eye of Malacca. -fotoZurie Daliena/Nurazurah

Sekiranya anda memilih untuk tidak menaiki River Cruise, anda masih lagi boleh menelusuri Sungai Melaka dengan berjalan di sepanjang laluan siar kaki (River Broadwalk) yang disediakan di sepanjang sungai.

Pada waktu malam, suasana di sepanjang Sungai Melaka begitu meriah dengan limpahan cahaya lampu yang berwarna warni.

Anda juga dapat menyaksikan persembahan pemuzik jalanan di beberapa lokasi sekitar tebing sungai.

Pendek kata, kunjungan anda ke negeri itu pastinya tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke Sungai Melaka dan menaiki river cruise yang popular.

Lokasi itu juga sesuai untuk kanak-kanak khususnya sewaktu musim cuti persekolahan.

Selain bergembira, kanak-kanak dapat mengenal sejarah menerusi kunjungan mereka ke negeri itu.

Rivercruise Melaka, cuti sekolah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain