WALAUPUN rata-rata peniaga makanan terpaksa meletakkan harga yang tinggi kepada pelanggan, nampaknya penduduk di Butterworth, Pulau Pinang menjumpai tempat makan 'lok lok' di sebuah gerai yang tidak akan 'membocorkan' poket mereka. Gerai yang dikenali sebagai 'lok lok 30 sen' sejak ia dibuka pada 1983 menjadi tumpuan murid-murid dari Sekolah Rendah Kwong Hwa di Jalan Raja Uda kerana harganya yang terlalu murah. Penjaja yang bernama Lee Koon Huat itu turut terkenal dalam kalangan penduduk setempat kerana sudah berniaga di luar sekolah tersebut selama 33 tahun. "Sebelum ini, saya pernah menjual 'lok lok' pada harga 20 sen secucuk, tetapi telah menaikkannya kepada 30 sen sejak 1994," kata Lim. Sementara itu, penjaja lain menjual 'lok lok' sekurang-kurangnya pada harga 50 sen secucuk. Lee menawarkan harga yang sama pada semua 'lok lok' kecuali makanan laut yang lebih mahal seperti udang dan sotong. Penjaja yang berusia 67 tahun itu berkata, dia mampu bertahan dengan harga tersebut kerana tidak ingin mengaut keuntungan besar kerana kesemua empat anaknya sudah dewasa dan hidup berdikari. Mereka mahu dia bersara dan menikmati usia tuanya, tetapi Lee lebih suka menolak gerai bergeraknya dari rumah ke kawasan sekolah tersebut pada setiap hari. Koon Huat akan membuka gerainya pada pukul 2 petang dan biasanya semua habis dijual dalam tempoh dua jam.