KUALA LUMPUR: Platform tempahan secara dalam talian, Agoda menyasarkan kaedah tempahan penginapan secara lebih mudah yang lebih digemari pengguna serta menjadi tumpuan utama industri pelancongan pada tahun depan. Menurutnya, ia akan menyebabkan pengguna mengutamakan syarikat yang dapat memberi pengalaman pengembaraan dengan memanfaatkan keberkesanan teknologi sedia ada. Perkembangan itu, kata Agoda, jelas bercanggah dengan aliran semasa yang menyaksikan banyak penggiat industri pelancongan dan pengembaraan terus menawarkan produk-produk kompleks dan program kesetiaan. Ketua Pegawai Produk Agoda, Omri Morgenshtern berkata para pengguna pada masa ini lebih berharap untuk mendapatkan maklumat secara pantas dan tiada masa atau kesabaran untuk melakukan sesuatu yang bagi mereka sepatutnya dilakukan oleh penyedia perkhidmatan terlibat. "Mereka akan mencari tawaran yang ada nilai tambah dan dapat mempermudahkan lagi kaedah perjalanan mereka baik dari aspek pencarian destinasi sesuai sehinggalah perkhidmatan pesanan ke bilik," katanya dalam satu kenyataan. Seiring kehadiran 2018 ini, Agoda juga menyasarkan untuk memanfaatkan teknologi yang dapat menjimatkan masa pengguna berbanding tumpuan terhadap usaha mempertingkatkan teknologi sedia ada. -Bernama