JIKA anda penggemar tegar drama Korea, pasti nama Pulau Jeju tidak menjadi sesuatu yang asing kerana terdapat banyak adegan romantis dilakonkan aktor dan aktres K-Drama di pulau yang berkeluasan 1,846 kilometer persegi itu. Penulis sendiri yang amat meminati drama My Lovely Sam Soon yang disiarkan pada 2005, tidak menyangka dapat menjejakkan kaki di Gunung Hallasan, lokasi di mana Jin-heon menunggu kekasih hatinya, Sam Soon kerana enggan melepaskan wanita itu. Penulis berpeluang menghirup udaran segar di kaki Gunung Hallasan. Penulis berasa sangat bertuah kerana berpeluang menaiki penerbangan tanpa henti kali pertama antara Kuala Lumpur dan Pulau Jeju yang memakan masa selama enam jam pada 12 Disember lalu. Sekumpulan wakil media tempatan daripada pelbagai agensi berita dibawakan khas oleh syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X dan Organisasi Pelancongan Jeju (JTO) bagi menghebahkan tentang keindahan destinasi yang diisytiharkan sebagai Tapak Bandaraya Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Camellia Hill merupakan salah satu tarikan yang terdapat di Pulau Jeju terutamanya pada musim sejuk. Bagi yang belum pernah sampai ke sini, Pulau Jeju terkenal sebuah destinasi bulan madu yang popular dalam kalangan pasangan yang baru mendirikan rumahtangga di Korea. Saat menjejakkan kaki ke pulau yang turut dipanggil Pulau Samdado oleh rakyat tempatan, deruan angin dingin sudah mula menerpa membuatkan penulis sedikit ralat kerana tidak membawa pakaian yang lebih tebal untuk dipakai sepanjang lima hari berada di sini. Suhu sepanjang kami berada di sini adalah sekitar lima hingga lapan darjah Celsius. Rombongan kami disambut meriah oleh rakyat Korea di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju. Maklumlah ini kali pertama orang Malaysia datang ke Jeju dalam jumlah yang ramai. Siapa yang tidak teruja mendapat sambutan sebegitu, kan? Pemandangan dari jendela bilik penulis di hotel Jeju Lotte City yang menunjukkan pemandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju. Ini pula pemandangan ke arah Gunung Hallasan yang merupakan gunung tertinggi di Korea Selatan. Usai beramah mesra dengan mereka, kami semua dibawa ke hotel bertaraf lima bintang iaitu hotel Jeju Lotte City yang hanya terletak kira-kira 10 minit dari lapangan terbang dan berada di tengah-tengah kawasan bandar baharu Jeju di Jeju utara. Wilayah Jeju terbahagi kepada dua bandar iaitu Jeju (Jeju utara) dan Seogwipo (Jeju selatan). Ia sangat dekat dengan deretan kedai yang menjual pelbagai barangan berjenama, jadi tidak hairanlah ia mendapat jolokan 'Bukit Bintang' Jeju oleh rakyat Malaysia yang pernah bercuti ke sini. Pemandangan dari tingkat atas hotel ini sangat indah dengan panorama Gunung Hallasan yang diselaputi salju putih, laut yang biru dan juga pemandangan pesawat yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju. Hong Bai. Ketua Pegawai Eksekutif JTO, Park Hong Bai (gambar) berkata, tahun lalu Pulau Jeju berjaya menarik lebih 13 juta pelancong dan seramai 3.3 juta daripadanya merupakan pelancong asing. "Industri pelancongan Jeju sudah bersiap sedia untuk menerima kunjungan rakyat Malaysia ke pulau ini. "Kami turut meningkatkan sistem pengangkutan awam di Pulau Jeju supaya anda dapat pergi ke mana sahaja dari lapangan terbang dan pada masa sama kami berusaha untuk memperbaiki infrastruktur bagi pelancong Muslim," katanya. Jadi, apa yang menarik di Pulau Jeju? Bagi penulis sendiri, peluang memetik tangerin (sejenis limau) di Jeju-E-In Tangerine Farm yang terletak di Seogwipo tentunya memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Penulis ketika berada di ladang tangerin Jeju-E-In. Pemandu pelancong kami sedang membuat demonstrasi cara-cara memetik tangerin. Lihatlah hasil tangerin yang berjaya kami petik. Sampai tidak muat bakul yang disediakan. Sempat juga penulis berkongsi beberapa keping gambar dan video di laman Instagram peribadi ketika berada di sana dan tidak sampai beberapa minit ia dimuat naik, beberapa kenalan penulis bertanya sama ada ia ladang yang menjadi lokasi penggambaran drama hit Korea, My Girl suatu ketika dulu. Penulis tidak pasti sama ada ia adalah lokasi yang sama kerana Pulau Jeju adalah wilayah yang menjadi pengeluar tangerin utama di Korea Selatan. Bayangkan betapa besarnya industri tangerin di Jeju yang dianggarkan seluas 20,541 hektar atau bersamaan dengan saiz 50,718 padang bola sepak. Di sini, kami diberikan sebuah bakul comel berwarna coklat untuk mengisi tangerin yang dipetik. Pemandangan bangsal berwarna merah jambu pudar yang terletak di laluan masuk ke ladang tangerin. Penulis turut belajar cara untuk memetik tangerin dengan kaedah yang betul iaitu dengan memotong tangkainya kira-kira dua inci dari buah dan potongan tangkai itu dikemaskan sekali lagi di bahagian pangkalnya. Kalau nak tahu, tips untuk memetik tangerin yang manis, haruslah cari yang bersaiz sederhana kecil kerana yang bersaiz besar lebih masam. Lebih menarik, pengunjung yang memetik tangerin di sini boleh makan sebanyak mana buah tangerin yang diinginkan, namun hanya boleh bawa pulang sebakul ya! Di ladang ini turut terdapat sebuah kafe kecil yang menjadi persinggahan pengunjung untuk memanaskan badan daripada cuaca sejuk dan menghilangkan dahaga dengan secawan teh citrus serta menjamu selera dengan sepiring pemanis mulut. Ini pula pemandangan dari puncak Seongsan Ilchul Sunrise Peak yang terbentuk selepas letusan gunung berapi yang berlaku lebih 100,000 tahun lalu. Memandangkan hari semakin lewat dan waktu senja berlabuh sekitar pukul 5 petang pada musim sejuk di Jeju, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal dan beredar untuk menikmati makan malam pula. Nantikan bingkisan penulis tentang hidangan halal yang terdapat di Jeju pada segmen yang akan datang. Annyeonghigaseyo!