suria

Tenggelam Dalam Hamparan Bunga Di Thailand

Ladang bunga matahari di Lopburi.

KITA jarang mendengar kisah keindahan musim bunga di Thailand setiap kali tiba penghujung tahun.

Namun, inilah hakikatnya walaupun berjiran dengan Malaysia, tetapi Negara Gajah Putih ini mempunyai kelebihan musim sejuk setiap kali menjelang Disember dan Januari.

Ini memberikan kelebihan kepada negara itu terutama dari segi penghasilan hasil pertanian beriklim sederhana.

Jadi, sebagai pengembara atau pelancong, lokasi yang 'rare' seperti inilah yang dicari untuk menambah koleksi gambar dan video serta memberi kepuasan dalam pengembaraan.

Pengalaman penulis sendiri yang baru pulang dari menikmati keindahan musim bunga di tanah tinggi Korat yang terletak kira-kira 240 kilometer timur laut kota Bangkok, Thailand benar-benar meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

Leka di Ladang Jim Thompson


Keindahan Ladang Jim Thompson

Kepenatan perjalanan tiga jam setengah ke ladang Jim Thompson di Nakhon Ratchasima dari Bangkok, tidak terasa sebaik tiba di ladang milik keluarga tokoh itu yang membantu mempromosikan industri sutera Thai sekitar 1950 an dan 1960 an di peringkat antarabangsa.

Ladang yang dibuka hanya lima minggu setiap tahun itu mulai awal Disember menjanjikan keseronokan tidak terhingga terutama apabila melihat lautan bunga spesies ulam raja atau Pink Cosmos.

Bunga ulam raja saujana mata memandang di Ladang Jim Thompson

Berada di ladang ini selama tiga jam seakan-akan tidak puas kerana asyik dengan keindahan bunga-bunga serta sayur-sayuran yang ditanam yang boleh dijadikan 'props' atau latar belakang untuk rakaman video dan gambar pengunjung.

Menaiki kenderaan ladang yang seakan-akan traktor panjang tentunya menambah keterujaan bukan hanya bagi kanak-kanak tetapi golongan dewasa juga.

Sutera tradisional

Ada beberapa hentian yang membolehkan pelancong berhenti menghabiskan masa seperti ladang bunga ulam raja dan sayuran hidroponik.

Laluannya pula diinspirasikan daripada sungai kelapan terpanjang di dunia, Mae Nam Khong yang pastinya melekakan pengunjung.

Hentian paling diminati adalah yang menempatkan ladang pelbagai bunga dan himpunan labu gergasi, pasti tidak mengecewakan pengunjung.

Pelbagai saiz labu di Ladang Jim Thompson.

Seperti dalam siri kartun, pelbagai bentuk labu dengan pelbagai saiz disusun dengan indah menambahkan kecantikan bagi setiap gambar yang dirakam.

Di hentian Perkampungan Isan pula, pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat produk kraftangan Thai termasuk hasil tenunan serta produk pengeluaran daerah itu yang terkenal seperti pulut.

Pengunjung berpeluang menikmati persembahan kesenian tradisi masyarakat tempatan serta tenunan sutera dengan lebih dekat.

Pembuatan benang sutera di Perkampungan Isan.

Bukan itu saja, butik Jim Thompson juga dibuka kepada pelancong yang mahukan produk sutera yang berkualiti tinggi.

Kunjungan ke ladang ini tentunya tidak sah tanpa membeli belah produk hasil tanaman seperti teh serai, teh malberi, sayur-sayuran seperti labu dan kerepek selain cendermata.

Hamparan bunga matahari

Usai lawatan ke ladang itu, sama ada mahu bermalam di hotel di bandar Korat atau Khao Yai, perjalanan boleh diteruskan ke bandar Lopburi yang menempatkan ratusan ekar ladang bunga matahari.

Di kiri kanan jalan dipenuhi padang bunga matahari yang hanya mekar di musim sejuk di Thailand.

Ladang bunga matahari di Lopburi.

Perlu diingatkan waktu melawat ladang bunga matahari juga perlu sesuai kerana bunga itu tidak sepanjang hari mekar.

Benih bunga matahari.

Lazimnya ia hanya mekar pada waktu matahari bersinar.

Bukan hanya dapat merakamkan gambar bunga matahari tetapi juga pengunjung berpeluang membeli kuaci dan madu di ladang sepanjang perjalanan ke bandar yang turut dikenali sebagai Bandar Bunga Matahari ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain