ANDA bercuti atau kebetulan berada di bandar bersejarah Taiping dan tercari-cari tempat untuk sarapan pagi? Jangan risau, terus sahaja ke warung nasi lemak yang memang terkenal di Taiping, iaitu Warung Muhibbah. Di sini anda boleh menikmati nasi lemak sedap, lebih sedap berbanding nasi lemak di tempat lain. Warung Muhibbah terletak di Tupai, berhampiran Taman Tupai Mas serta tidak jauh dari Asam Kumbang dan Taman Tasik Taiping. Warungnya sederhana tetapi menjadi tumpuan ramai kerana makanan yang disajikan di situ memang enak memenuhi selera. Warung ini terkenal dalam kalangan penduduk Taiping dan sekitarnya, malah terkenal dalam kalangan mereka di luar Taiping, khususunya di sebelah utara. Nasi lemak menjadi menu utama, namun hidangan lain seperti soto ada disediakan. Lauk yang disediakan mengiringi nasi lemak adalah ayam, daging atau sotong, hanya pilih mana yang anda suka! Sambal atau kuahnya pekat, memang sedap dan yang penting boleh dimakan oleh orang dewasa atau kanak-kanak. Apa sahaja lauk pilihan anda, sama ada lauk sotong, ayam atau daging, masakannya bukan sahaja enak tetapi cukup sempurna dari segi teksturnya. Jika anda ingin lauk tambahan, ambil saja telur mata kerbau yang memang disediakan di situ. Disebabkan keenakan nasi lemak di warung ini, tidak hairanlah walaupun hanya warung sederhana di tepi jalan, ia amat popular. Setiap hari ia dipenuhi oleh pelanggan baik dari Taiping atau luar Taiping untuk bersarapan pagi. Warung nasi lemak ini dibuka setiap hari dari pukul 6.30 pagi hingga 12 tengahari. Sejak awal pagi sebaik perniagaan bermula ramai sudah berbaris untuk menjamu selera. Kebanyakannya makan di warung berkenaan tetapi ada juga yang beli bungkus untuk dibawa balik. Pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan ramai daripadanya adalah pelanggan tetap. Pelanggan tetap ini pula ada yang membawa saudara mara atau rakan yang datang ke Taiping untuk menjamu selera di warung berkenaan. Kerana pelanggan memang ramai, jika anda tidak mahu berbaris panjang untuk bersarapan, perlu datang awal. Nasi lemak yang disajikan panas-panas aromanya sahaja sudah cukup menyelerakan. Dengan lauk ayam, sotong atau daging serta ditambah hirisan mentimun, kacang tanah serta ikan bilis, memang menaikkan selera untuk menikmatinya. Anda juga boleh menikmati soto di warung berkenaan. Pelbagai jenis soto disediakan seperti soto biasa, bihun soto atau mi soto. Jangan bimbang mengenai rasa. Memang enak. Menikmati nasi lemak atau soto dalam suasana pagi di bawah teduhan pokok yang memayungi warung tersebut memang sungguh mendamaikan. Suasana sekeliling juga tidak sibuk, membolehkan anda menjamu selera dalam suasana tenang. Salah seorang pelanggan yang ditemui, Azaham Ibrahim, dari Rawang memberitahu, dia berkunjung ke warung tersebut dibawa oleh kakaknya yang menetap di Taiping. "Saya diberitahu oleh kakak saya nasi lemak di warung ini memang istimewa menyebabkan saya ingin merasainya. "Selepas merasainya sendiri memang saya akui keenakan nasi lemak Warung Muhibbah ini," katanya yang datang ke Taiping bersama keluarga. Dia pasti akan akan mengunjungi lagi Warung Muhibbah dan menjadikannya 'destinasi wajib' dalam kunjungannya ke Taiping pada masa akan datang. Noriza Ibrahim dari Kuala Lumpur pula berkata, nasi lemak di Warung Muhibbah ini memang lebih enak dibandingkan dengan nasi lemak yang pernah dimakan di warung-warng lain sebelum ini. Dia dibawa ke warung tersebut oleh saudaranya yang sudah lama menetap di Taiping dan merupakan salah seorang pengunjung tetap warung berkenaan. "Sekali rasa pasti tak lupa dan akan berkunjung semula apabila datang ke Taiping nanti," katanya. Rasailah sendiri kenakan nasi lemak Warung Muhibbah atau hidangan sotonya jika anda berkesempatan berkunjung ke Taiping, bandar warisan yang tenang damai dan bersejarah. Kedatangan anda ke Taiping bagai tidak sempurna jika tidak menjamu selera di warung nasi lemak popular ini.