DALAM keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, bukan mudah untuk mencari hidangan stik pada harga 'mampu bayar'. Biasanya, harga hidangan ini yang ditawarkan di mana-mana restoran cantik dan berhawa dingin pastinya membuat anda terkedu. Tapi jangan risau, NY Steak Shack (NYSS) pasti tidak akan mengecewakan anda, terutama yang suka makan stik. Sewaktu kunjungan mStar Online ke salah sebuah outlet NYSS di Alamanda, Putrajaya, baru-baru ini, harga yang ditawarkan amat mengejutkan. Percaya atau tidak, semua hidangan stik ditawarkan pada harga kurang RM50. Selain hidangan yang boleh dianggap murah, dekorasi NYSS juga sangat cantik. Hiasan ringkas dan moden menjadikan ia satu tempat yang boleh dikatakan sebagai 'instagram worthy'. Maklumlah, orang sekarang berkunjung ke restoran bukan sahaja untuk menikmati makanan, malah menjadikan tempat itu sebagai medan fotografi. Di outlet NYSS Alamanda, Putrajaya misalnya, anda boleh membuat pilihan untuk makan di dalam atau di luar. Suasana di luar yang berhadapan dengan sebuah kolam besar pastinya memberi satu pengalaman menjamu selera yang lebih santai. Malah, ia juga sesuai untuk melepak bersama teman-teman sambil menikmati hidangan. Berbalik kepada seleksi menu yang ditawarkan, penulis mencuba hidangan signatur NYSS yang paling mendapat sambutan iaitu 'sizzling ribeye'. Ternyata, penulis bersetuju ia diangkat sebagai antara hidangan paling popular di NYSS. Bukan sahaja dagingnya empuk dan lembut, perapan yang digunakan turut memberi satu letusan rasa yang berbeza saat ia disuap ke dalam mulut. Ia turut ditabur dengan bawang putih goreng yang rangup sekali gus memberi gabungan rasa berbeza saat dimakan bersama stik. Malah, anda juga boleh memilih hidangan sampingan yang didatangkan bersama stik itu. Antaranya ialah salad, coleslaw, pumpkin rice, corn on cob dan mashed potato. Bagi mereka yang tidak mahu menikmati stik, NYSS juga ada menawarkan menu lain seperti pasta, burger dan macam-macam lagi. Selain itu, minuman yang ditawarkan juga sangat menyegarkan. Anda boleh memilih untuk menikmati orange breeze, minty lime cooler atau lemonade zest. Bagi mereka yang tertanya-tanya mengenai status restoran ini, jangan risau kerana NYSS sudahpun diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Malah, daging yang digunakan di NYSS juga diambil daripada pembekal halal di Australia. Bagi mereka yang mahu berkunjung ke NYSS, terdapat 10 outlet di seluruh Malaysia. Antaranya di Mid Valley, Sunway Pyramid, Subang Parade, One Utama, Sunway Velocity dan Melawati Mall. Apa yang pasti, harganya bukan sahaja murah malah hidangan yang ditawarkan juga sangat menyelerakan. Rugi sekiranya anda tidak mencuba salah satu hidangan NYSS. Sekali cuba, pasti nak lagi.