JURUTERBANG biasanya bertugas selama beberapa hari, tetapi apa yang kita nampak, mereka tidak membawa bagasi besar atau banyak barang. Juruterbang Petter Hornfeldt mendedahkan apa yang dibawanya untuk setiap penerbangan, termasuklah satu benda penting yang wajib dibawanya setiap kali dia bertugas. Mereka selalunya dilihat berjalan di lapangan terbang hanya dengan sebuah bagasi kecil, tidak seperti penumpang kerana juruterbang tidak dibenarkan terbang dengan terlalu banyak barang peribadi. Ruang-ruang kabin disediakan untuk penumpang, manakala bahagian kokpit pula kecil dan mesti sentiasa kemas. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang apa yang juruterbang bawa dalam beg mereka ketika terbang mengelilingi dunia. Selain menjadi juruterbang, Hornfeldt yang juga pencipta Mentour 360, mendedahkan dia sentiasa membawa barang penting yang diibaratkan sebagai 'nyawa' setiap kali terbang, yang mungkin akan mengejutkan ramai orang. Hornfeldt menjelaskan bahawa bagi setiap syarikat penerbangan, peraturannya sedikit berbeza dan apa yang juruterbang bawa semasa penerbangan bergantung kepada tempoh dia bertugas. Pada masa lalu, juruterbang dikehendaki membawa susunan graf, carta dan peta penerbangan, tetapi dengan terciptanya iPad, majoriti kini semuanya bertukar kepada digital. -foto Getty Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara utama yang mesti dibawa oleh juruterbang sepanjang masa. "Perkara penting yang saya bawa adalah pasport. Sama seperti penumpang, juruterbang juga perlu membawa pasport mereka sepanjang masa. "sesetengah negara menghendaki anda mempunyai pasport yang sah untuk sekurang-kurangnya tempoh enam bulan". Di samping pasport, dia juga mesti mempunyai lesen juruterbangnya, rekod perubatan dan apa-apa senarai vaksin yang harus diambil. Menghairankan apabila Hornfeldt mendedahkan bahawa dia selalu memastikan jaket darjah penglihatan tinggi ada bersama dengannya, tetapi ia sebenarnya merupakan undang-undang ketika berjalan di sekitar apron lapangan terbang. "Lapangan terbang mana sekali pun yang anda pergi di seluruh dunia, anda dikehendaki memakai baju itu setiap kali anda berada di apron," katanya. Katanya penumpang dikecualikan kerana mereka dibawa ke sana, begitu juga ketika keluar dari pesawat, tidak seperti juruterbang yang dikehendaki memakai jaket itu sepanjang masa. Jika ditangkap tanpa jaket itu, juruterbang berisiko didenda. Walaupun tidak ditetapkan dalam undang-undang, juruterbang ini juga tidak pernah terbang tanpa sepasang kaca mata hitam yang baik. "Di dalam kokpit ia benar-benar cerah, terutamanya apabila anda terbang melalui awan. Tidak seperti penumpang, juruterbang tidak boleh menutup tirai ketika matahari terlalu terik." Dia juga mendedahkan bahawa tidak pernah ada cawan tanpa penutup di dalam kokpit. Katanya, juruterbang dibenarkan minum teh dan kopi di kokpit tetapi untuk mengelakkan sebarang tumpahan ketika pergolakan awan yang akan merosakkan peralatan penerbangan, semua cawan mesti mempunyai penutup. -expressUK