suria

Teh madu dan sup di warung Pak Mat memang ‘tangkap leleh’

Teh yang dicampur susu dan madu ni bikin buih melimpah. Sedap tuuu!

PENAHKAH anda menikmati minuman teh madu, panas atau sejuk? Sesungguhnya ia satu kelainan berbanding menikmati air teh atau teh ais yang biasa kita minum.

Inilah pengalaman baharu yang penulis lalui apabila berpeluang merasai sendiri teh madu sewaktu dibawa berkunjung ke Warung Pak Mat di Pulau Pisang, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini sempena percutian ke Kelantan.

Warung ini memang sudah terkenal dan sentiasa dipenuhi pelanggan. Apakah kelainan air teh madu dibandingkan dengan teh biasa? Tehnya pekat dan resipinya bukan hanya teh tetapi dicampur madu dan susu tepung.

Campuran teh, madu lebah asli dan susu tepung ini menghasilkan buih yang banyak. Buih ini membukit di dalam gelas sehingga meleleh keluar gelas. Inilah keistimewaan dan kelainan teh madu. Buihnya nampak cantik dipandang.

Terpulang pada anda memilih untuk menikmati teh madu panas atau sejuk. Anda juga boleh memilih untuk memesan teh ais special

Warung Pak Mat terletak di jalan menuju ke Pantai Cahaya Bulan antara menjadi tumpuan ramai.

Teh ais istimewa ini mempunyai resipi tambahan iaitu aiskrim dan dikenali sebagai float. Penggemar aiskrim biasanya suka memilih teh ais float ini.

Warung ini mula menerima pelanggan sebaik dibuka dan jumlah bertambah ketika waktu makan tengahari. Sekalipun warung luas dan banyak tempat duduk disediakan, selalunya ia sentiasa penuh.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang, kecuali pada hari cuti umum. Ramai daripada pengunjung ini dari luar Kota Bharu yang buat kali pertama ingin merasai keenakan teh madu. 

Mereka mendengar mengenai warung tersebut daripada kawan-kawan atau saudara mara dan tidak melepaskan peluang untuk mencuba. 
Walaupun teh madu adalah trademark Warung Pak Mat, minuman lain juga disediakan. 

Tetapi  biasanya pelanggan akan memesan teh madu panas atau sejuk kerana itulah menu minuman istimewa. Kerana itu jugalah mereka datang ke warung tersebut.

Sup ikan dan teh madu... memang sedap

Selain teh madu, Warung Pak Mat juga dikenali dengan masakan sup ikan dan daging. Inilah menu makanan istimewa di warung ini seperti juga istimewanya teh madu.

Untuk sup ikan anda boleh memilih kepala ikan atau isi ikan. Yang pasti isi ikannya lembut. Begitu juga sup daging, lembut tidak liat. 

Penulis yang menikmati kedua-dua sup ikan dan daging ini dapat merasai kelembutan dan keenakannya.

Sup ini dimasak menggunakan resipi keluarga sejak sekian lama. Kerana itu rasanya memang berlainan dengan sup yang kita pernah makan di kedai lain.

Kuah supnya memang berperisa. Sedap untuk dihirup tetapi perlu berwaspada kerana ada cili padi yang dipotong halus dalam sup tersebut bagi menambahkan kesedapannya. Tersilap hirup akan tergigit cili padi. Pastinya pedas!

Harga sup daging dan ikan berlainan. Harga sup kepala ikan dan isi ikan juga berlainan. Jadi anda dinasihat pastikan dahulu harga bagi makanan yang dipesan.  Ini bagi mengelakkan anda ‘terkejut’ apabila membayar bil.

Nampak berselera pelanggan menikmati makan tengah hari bersama teh madu berbuih ni.

Tetapi jika anda jenis yang tidak mengambil kira harga untuk menikmati makanan pilihan anda, maka harga bukan jadi satu masalah.

Anda boleh meratah sahaja sup ikan atau daging ini. Tetapi lebih enak dimakan bersama nasi putih, hirisan timun dan sambal belacan.  Sambalnya enak tetapi awas ia agak pedas! Jadi pastikan air teh madu ada di sisi.

Bagi para peminat sup gearbox anda juga boleh menikmati hidangan tersebut di Warung Pak Mat. Selain itu makanan dan lauk pauk lain serta pencuci mulut juga disediakan untuk pengunjung.

Bagi mereka yang ingin berkunjung ke Warung Pak Mat, tidak sukar untuk mencari. Dari Kota Bharu ikut jalan ke Pantai Cahaya Bulan (PCB). Apabila nampak papan tanda ke Kuala Besar dan masuk ke simpang tersebut.

Kalau tak mahu sup ikan, sup daging pun dijual di warung Pak Mat ini. Memadi dimakan bersama nasi putih.

Selepas masuk ke simpang itu anda akan nampak papan tanda besar bertulis ‘Medan Ikan Bakar’. Warung Pak Mat teh madu terletak dalam medan tersebut sebelah hujung.

Bagi mereka yang berkunjung  ke Kelantan dan Kota Bharu khususnya,  usah lepaskan peluang menikmati teh madu dan sup ikan serta daging di Warung Pak Mat.

Nikmatilah menu berlainan rasa daripada yang pernah kita nikmati.

Inilah salah satu keistimewaan Kelantan. Negeri ‘Serambi Mekah’ itu bukan sahaja kaya dengan pelbagai tarikan pelacongan namun destanisi membeli belah juga antara tumpuan ramai seperti di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.

Selain itu sudah tentu kepada kepelbagaian jenis makanan dan minumannya.

Teh Madu, selera

Artikel Lain